Monday, July 27, 2009

Rayyan: Merah Saga



Persembahan Slot "Layar Pemuda" oleh kumpulan Rayyan pada Malam Kemuncak Roadshow Gema Al-Aqsa 2009 (ROQS 09)

Ahli Rayyan; (dari kiri) Muhammad Hashemi Dahalan Md Razip, Abdullah Azzam, Muhammad Abd Jaafar, Muhammad Danial Md. Omar dan Muhammad Hilmi Mohd Arif.

*Semua adalah pelajar tahun 1 Perubatan Jordan University of Science & Technology (JUST)

Nyanyian asal: Shoutul Harokah

Read more...

Sunday, July 26, 2009

Demimu Palestin: Semangat vs Pemahaman

Oleh: Muhammad Naqeb bin Sulaiman
Fakulti Perubatan, Jordan University of Science & Technology
Menjejak Roh Pengorbanan


A: Eh..awak tak menulis tentang isu Palestin ?

B: Kenapa? Ada peperangan lagi ke?Ada yang mati lagi ke?

A: Bukanlah. Tapi sekarang musim kehangatan ROQS 2009. Jadi, sesuailah tulis tentang Palestin. Barulah orang kate blogger yang update.

B: Owh. Ye tak ye jugak.


Saya suka mengajak pembaca menilai perbualan di atas.

Siapakah yang tepat tindakan dan pemahamannya dalam berbicara soal perjuangan ummat Islam di Palestin.

Si polan A menganggap isu Palestin hanya perlu diwar-warkan seandainya keadaan kemuncak berlaku. Apabila sudah beribu nyawa ibu-ibu tua, anak-anak yang masih kudus jiwa mereka terkorban, barulah isu ini perlu diberi perhatian.

Bagaimana si polan B pula?

Dia seorang yang bagus kerana peka dengan program-program semasa. Namun, dia sedikit terkesan dengan trend penulisan yang bermusim, apabila program berkaitan dianjurkan, maka penulisannya pula akan mengikut arus. Tatkala program sudah lama berlalu, penulisannya hilang halatuju.

Saya tidak mengatakan kedua kelompok ini adalah kelompok yang salah sepenuhnya kerana sekurang-kurang masih wujud sensitiviti dalam diri mereka untuk bersama-sama dalam arus perjuangan isu ini.

Namun, dua kelompok ini bukanlah kelompok yang terbaik untuk bertindak sebagai barisan tentera di hadapan dalam memperjuangkan isu ini.

Sebaliknya, golongan yang diperlukan adalah golongan yang berjuang berdasarkan kefahaman yang jelas.

Kefahaman bahawa isu ini bukan isu yang bermusim, ada pasang surutnya.

Kefahaman bahawa isu menuntut perjuangan yang konsisten.

Satu analogi yang ingin saya kongsikan.

Bayangkan seandainya ibu kita dizalimi dan diseksa tatkala dikurung di dalam penjara yang kita boleh lihat dari luarnya.

Adakah kita akan rasa sedih dan berusaha melepaskan ibu kita hanya ketika si zalim menyeksa sepuas-puasnya ibu kita di hadapan mata?

Semasa si zalim berhenti rehat sebentar meneguk secawan kopi, kita sudah boleh tersenyum dan goyang kaki, sudah puas hati. Adakah sekadar begitu???!!

Ingatlah sahabat-sahabat, perjuangan mempertahankan hak ummat Islam di Palestin menuntut perjuangan yang didasari dengan pemahaman yang benar dan jelas, bukan semangat bermusim-musim yang akan hilang ditelan masa.

Ayuh, Semarak Ruh Perjuangan!


Penulis juga merupakan Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid (PERMAI) sesi 2009/2010.

Read more...

Friday, July 24, 2009

Malam Dialog Pemuda: Hebat!!



Jelajah Roadshow Gema Al-Aqsa 2009 akhirnya tiba di Irbid pada 23 Julai 2009. Program yang berlangsung di Dewan Abu Ain ini mula dipenuhi oleh para pelajar seawal jam 8.30 malam, usai solat Maghrib. Dengan kehadiran pelajar seramai lebih 250 orang yang bersempit di dewan yang kecil ini, majlis dimulakan tepat jam 9.00 malam. Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Presiden PRISMA, Ust. Nasir bin Thamby Chik.

Majlis yang dipengerusikan oleh Saudara Muhammad Al-Athiq bin Marzuki ini dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-quran oleh Saudara Anas bin Abdul Hadi. Beliau membacakan ayat 1-7 Surah Al-Isra’ dengan bacaan penuh syahdu.

Majlis seterusnya menjemput Pengarah Sekretariat ROQS 2009, Saudara Muhammad Syamil bin Mohamad Salmi untuk berucap bagi pihak penganjur program. Dalam ucapannya, beliau mengatakan bahawa malam ini dinamakan Malam Dialog Pemuda dan diserikan pula dengan slot Layar Pemuda oleh Grup Rayyan adalah kerana berhimpunnya pada malam ini jiwa-jiwa pemuda yang bersemarak ruh perjuangan mereka. Mereka sanggup datang untuk bersempit dan berpanas di dalam dewan sesempit ini. Beliau juga menyentuh akan kepentingan pemuda di mana perkembangan tamadun-tamadun dunia ini ditentukan oleh tangan-tangan pemuda yang berjiwa besar.

Presiden PERMAI kemudiannya dijemput untuk berucap pada malam ini. Beliau menyatakan penghargaannya kepada pihak jawatankuasa penganjur dan semua yang turut menjayakan program seumpama ini. Program seumpama ini haruslah diteruskan di masa-masa hadapan.

Seterusnya tibalah acara yang ditunggu-tunggu oleh para hadirin, slot Layar Pemuda yang dipersembahkan oleh Grup Rayyan. Mereka mempersembahkan sajak dan juga nasyid bertajuk ‘Merah Saga’. Para pelajar yang hadir terhibur dan memberikan tepukan gemuruh pada Grup Rayyan usai persembahan mereka. Selepas itu, majlis mempersembahkan pula video Malam Kemuncak ROQS 2009 yang disediakan oleh Biro Media & Penerbitan Sekretariat ROQS 2009.
Majlis seterusnya mempersilakan Mejar Haji Nadzri bin Musman, Perunding Aman Palestin untuk menyampaikan ceramah beliau. Ceramah beliau ini bertajuk ‘Agenda Zionis & Peranan Kita’, bersempena dengan Malam Kemuncak ROQS 2009. Para hadirin tekun mendengar ceramah beliau selama satu jam setengah, diselang-seli pula dengan gelak-ketawa tatkala mendengar jenaka dari penceramah.

Tepat jam 11.00 malam, ceramah berakhir dan para hadirin dihidangkan pula dengan tayangan video Profil Aman Palestin. Seterusnya, sesi soal jawab dibuka untuk semua yang hadir.

Majlis kemudian menjemput Presiden PERMAI, Saudara Muhd. Naqeb bin Sulaiman bagi menyampaikan cenderahati penghargaan bagi pihak PERMAI kepada Mejar Nadzri bin Musman, Perunding Aman Palestin. Pihak Skretariat ROQS 2009 turut menyampaikan cenderahati penghargaan kepada Mejar Nadzri.

Malam Dialog Pemuda berakhir jam 11.30 malam. Para pelajar yang hadir kelihatan bersemangat dan menyatakan ucapan tahniah mereka kepada warga kerja ROQS 2009. Harapan mereka agar program-program sebegini dibawakan lagi di masa-masa hadapan.

ROQS 2009 di 4 destinasi ini berjaya mengumpul dana sumbangan pelajar-pelajar Malaysia di Jordan ini sebanyak 1,241. 185 JD (RM 6,212.25). Pihak Sekretariat ROQS 2009 mengucapkan jutaan penghargaan pada semua yang terlibat menjayakan program ini. Semoga semua usaha kita mendapat ganjaran terbaik di sisi Allah s.w.t.





























Read more...

Thursday, July 23, 2009

ROQS@Amman!!

Perjalanan ROQS diteruskan dengan program yang dilaksanakan di Jabatan Penuntut Malaysia Jordan, Amman pada hari Rabu, 22 Julai 2009. Majlis bermula dengan kehadiran para pegawai-pegawai Kedutaan Besar Malaysia Jordan dan Jabatan Penuntut Malaysia Jordan, pelajar-pelajar dari Amman, dan juga wakil dari Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPM). Grup Rayyan juga dijemput khas bagi membuat persembahan di dalam majlis ini.

Sejurus Duta Besar Malaysia ke Jordan, TYT Dato’ Abdul Malek bin Abdul Aziz tiba di lokasi program, semua hadirin berdiri dan menyambut kedatangannya. Lalu lagu ‘Negaraku’ dinyanyikan bersama oleh semua yang hadir.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran dari saudara Wan Abdul Ba’ith bin Wan Mustapha yang memperdengarkan ayat 1-17 Surah Isra’. Ayat-ayat yang dibacakan menyentuh topik penyampaian pada malam ini.

Majlis kemudian menjemput saudara Muhammad Syamil bin Mohamad Salmi, Pengarah Sekretariat ROQS 2009 bagi menyampaikan sepatah dua kata. Beliau menyatakan betapa besar hasrat pihak sekretariat andai program-program seumpama ini dapat diteruskan secara kerjasama oleh pelbagai pihak di masa hadapan.

Seterusnya, majlis mempersilakan TYT Dato’ Abdul Malek bin Abdul Aziz untuk menyampaikan ucapan beliau. Beliau sedikit-sebanyak menyentuh isu pelanggaran protokol-protokol PBB oleh pihak Israel sejak sekian lama. Beliau turut menyatakan bahawa isu Palestin ini adalah isu kita bersama kerana ia merupakan isu kemanusiaan sejagat.

Majlis diserikan pula dengan slot ‘Layar Pemuda’ yang dipersembahkan oleh Grup Rayyan. Grup ini didatangkan khas dari Irbid. Semangat hadirin yang ada dalam majlis tersebut dibakar dengan persembahan penuh bertenaga dari grup ini. Grup Rayyan ini akan turut membuat persembahan di lokasi roadshow seterusnya, iaitu di Irbid pada 23 Julai 2009. Video Pengenalan ROQS 2009 turut ditayangkan pada malam ini bagi memperkenalkan konsep dan objektif program seumpama ini dilaksanakan.

Agenda majlis diteruskan dengan acara yang ditunggu-tunggu, iaitu ceramah dari Mejar Haji Nadzri bin Musman, Perunding Aman Palestin. Ceramah yang bertajuk ‘Kenapa Palestin?’ ini menyingkap sejarah dan perjuangan umat Islam di Palestin yang telah berlarutan sejak sekian lama. Gambar-gambar dan video-video yang dipaparkan dalam ceramah ini mengundang rasa sedih akan nasib umat Islam di sana, lantas membangkitkan semangat juang para tetamu yang hadir pada malam ini. Ceramah in berakhir tepat jam 10 malam dan disudahi dengan tayangan video profil Aman Palestin.

Selesai ceramah isu Palestin, majlis seterusnya menjemput Mejar Haji Nadzri bin Musman, Perunding Aman Palestin bagi menyampaikan cenderahati kepada TYT Dato’ Abdul Malek bin Abdul Aziz, Buta Besar Malaysia ke Jordan. Majlis kemudian menjemput pula Encik Arman bin Md. Rusoff, Atase Pendidikan Jabatan Penuntut Malaysia Jordan bagi menyampaikan cenderahati sebagai tanda penghargaan pihak penganjur kepada Aman Palestin. Majlis kemudiannya ditutup dengan tasbih kafarah lalu semua hadirin dijemput untuk menikmati juadah yang tersedia.

Maklum balas dan respon dari para tetamu yang hadir pada malam ini sangat mengharukan. Mereka menyatakan semangat mereka berkobar-kobar usai ceramah Palestin. Mereka juga bukan sekadar terhibur dengan persembahan Grup Rayyan, malah terbakar ruh perjuangan mereka. Hasrat mereka juga agar program-program seumpama ini diteruskan di masa-masa hadapan.

Pihak sekretariat ROQS 2009 mengucapkan ribuan terima kasih pada semua yang terlibat menjayakan majlis ini secara langsung ataupun tidak. Kami juga merakamkan penghargaan pada perwakilan ROQS cawangan Amman, saudara Syed Usamah Wafa bin Syed Hashim atas kesungguhan beliau melicinkan perjalanan majlis ini.


Read more...

Wednesday, July 22, 2009

Gema Al-Aqsa Berterusan di Mafraq


Seperti yang dirancang, program ROQS 2009 meneruskan kembara ke bumi Mafraq pula pada 21 Julai. Diadakan di dewan serbaguna (dewan 'underground') di bangunan 'Hijau', program ROQS siri 2 pun bermula sekitar jam 9.00 malam dengan alu-aluan daripada pengerusi majlis, saudara Afiq. Majlis pada malam tersebut dimulakan dengan slot Gema Wahyu yang disampaikan oleh saudara Abu Bakar, kemudiannya disusuli dengan ucapan oleh Presiden PRISMA yang baru bagi sesi 2009/ 2010, Ustaz Nasir kemudian diteruskan dengan ucapan daripada Pengarah Program ROQS 2009 sendiri, saudara Muhd. Syamil Mohd. Salmi. Program kemudiannya diteruskan kepada slot ceramah.


Dalam sesi ceramah kali ini, penceramah undangan ROQS 09, Mejar Nadzri sekali lagi membentangkan tajuk "Kenapa Palestin?" dengan kupasan-kupasan serta pembentangan maklumat yang sama pada siri 1 di Mu'tah. Walaupun setelah penat bermusafir dari Mu'tah ke Mafraq, Mejar Nadzri masih mampu memberikan penyampaian dengan penuh bersemangat dan membakar semangat mahasiswa-mahasiswi warga PRISMA.

Kehadiran pada program ini dilihat amat baik iaitu sekitar 70 – 80 orang memandangkan sebahagian daripada pelajar akan menghadapi peperiksaan pada keesokannya. Malah program pada malam tersebut turut dihadiri Presiden MPPM Jordan yang baru, saudara Ahmad Syahrul bin Adnan yang juga akan menghadapi peperiksaan pada esoknya.

Bagi kutipan di Mafraq, Ustaz Nasir telah memutuskan untuk meneruskan kutipan sumbangan sehingga hari khamis ini bagi membuka lebih banyak peluang kepada warga PRISMA untuk sama-sama menyumbang kepada rakyat Palestin.

Majlis diakhiri pada jam 11.00 malam dengan sedikit jamuan ringan yang disediakan oleh Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Ali Al-Bayt. Ustaz Nasir selaku Presiden PRISMA bagaimanapun berbesar hati mengundang penceramah kita bersama sebahagian jawatankuasa penggerak ROQS 09 untuk menikmati sedikit jamuan yang lebih istimewa. Pihak sekretariat ROQS 09 mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua warga PRISMA, khususnya Ustaz Nasir sendiri dan jawatankuasa penggerak ROQS 09 bagi perwakilan Mafraq sendiri.




Read more...

ROQS 2009 Mula Bergema !!!


Setelah ditunggu-tunggu sekian lama, maka bermula semalam (20 Julai 2009) program Roadshow Gema Al-Aqsa 2009 yang diadakan di Wisma Negeri Sembilan, Mu'tah. Program bermula dengan kehadiran para peserta yang terdiri daripada kalangan mahasiswa-mahasiswi Universiti Mu'tah selepas solat maghrib.

Pada majlis ini juga, majlis pelancaran ROQS 2009 telah dirasmikan oleh Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Mu'tah (PERMATA) Sesi 2009/2010, saudara Amiruddin bin Ibrahim. Majlis kemudian dihangatkan dengan tayangan multimedia yang telah disediakan oleh Biro Media ROQS 09 dan kemudiannya diteruskan dengan acara kemuncak iaitu sesi ceramah oleh Mejar Nadzri bin Musman mengenai isu Palestin dengan tajuk "Kenapa Palestin?".



Dalam sesi ceramah ini, para peserta didedahkan dengan maklumat-maklumat tentang bagaimana bermulanya isu Palestin, kepentingan isu Palestin kepada umat Islam dan pelbagai lagi pendedahan-pendedahan yang sebelum ini mungkin kurang didengari atau disebut di dalam media-media arus perdana. Pada hujung sesi ceramah ini, beberapa mahasiswa telah mengambil kesempatan untuk mengajukan beberapa soalan kepada penceramah dalam isu-isu Palestin sendiri, peluang penglibatan dalam Aman Palestin malah ada yang betanya tentang isu-isu tempatan.

Secara umumnya, program ini dilihat telah mencapai matlamatnya di Mu'tah dan sambutan boleh dikatakan sangat memberangsangkan dengan kehadiran peserta seramai sekitar 80 - 90 orang (daripada 130 orang mahasiswa di Mu'tah). Alhamdulillah, sekitar JD 70 hasil daripada kutipan sumbangan dan jualan telah berjaya diperolehi.

Apapun, bukanlah kutipan & sumbangan yang banyak yang menjadi fokus utama tetapi adalah lebih diharapkan oleh pihak penganjur agar semua peserta Siri 1 Roadshow Gema Al-Aqsa 2009 di Mu'tah akan dapat mengambil sebanyak mungkin manfaat, maklumat yang akhirnya dapat dijana menjadi tindakan-tindakan susulan yang akan mengangkat semula umat ini yang akhirnya akan membebaskan bumi Al-Aqsa itu sendiri.


Read more...

Monday, July 20, 2009

Al-Israa’ Wal Mi’raj: Iktibar Persinggahan RasuluLlah SAW ke Masjid Al-Aqsa

Oleh: Ustaz Fakhrurrazi Abu Bakar
Fakulti Syariah, Universiti Yarmouk, Irbid


Peristiwa Israa’ dan Mi’raj berlaku pada tahun yang ke-tiga belas selepas Nabi Muhammad SAW diutus menjadi rasul dan sesetengahnya menyebut setahun sebelum peristiwa hijrah ke Madinah atau enam belas bulan sebelumnya. Berlakunya peristiwa mu’jizat yang mempunyai seribu satu pengajaran ini ketika RasuluLlah SAW seakan-akan menemui jalan buntu demi kelangsungan perjuangan Islam. Wafatnya Khadijah RA isteri yang sangat disayangi setelah mendampingi RasuluLlah SAW sedari awal bermulanya risalah, ditambah pula dengan pemergian Abu Thalib sebagai bapa saudara dan pemerintah tertinggi di Makkah pada ketika itu yang selama ini memberikan perlindungan kepada Nabi SAW daripada kerja-kerja jahat golongan musyrikin menjadikan keadaan da’wah semakin sukar dan menekan.

Lebih malang lagi setelah tiada perlindungan serta jaminan keselamatan di Makkah, maka RasuluLlah SAW telah pergi ke Thoif untuk mencari tapak baru yang selamat sebagai usaha untuk meneruskan kerja-kerja da’wah di samping mencari sokongan daripada penduduk di sana untuk menegakkan Islam seterusnya membina sebuah pemerintahan yang berpaksikan kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah. Namun usaha yang dilakukan terputus di tengah jalan apabila Baginda SAW menerima nasib yang sama sebagaimana di Makkah sehingga Nabi SAW bermunajat kepada Kekasih Agung ‘Azza Wa Jalla dengan munajat yang sangat masyhur;

اللهم إليك أشكو ضعف قوتي ، وقلة حيلتي ، وهواني غلى الناس ، يا أرحم الراحمين ، أنت رب المستضعفين ، وأنت ربي ، إلى من تكلني إلى بعيد يتجهمني ؟ أو إلى عدو ملكته أمري ، إن لم يكن بك غضب علي قلا أبالي ، غير أن عافيتك هي أوسع لي ، أعوذ بنور وجهك الذي أشرقت له الظلمات ، وصلح عليه أمر الدنيا والآخرة ، أن يحل علي غضبك ، أو أن ينزل بي سخطك ، لك العتبى حتى ترضى ، ولا حول ولا قوة إلا بك

"Ya Allah, ya tuhanku, kepadaMu aku mengadu lemahnya kekuatanku, sedikitnya helahku, dan hinanya aku di kalangan manusia. Wahai Pentadbir yang Paling Penyayang di kalangan semua yang penyayang, Engkaulah Tuhan kepada orang-orang yang lemah tertindas dan Engkaulah Tuhanku. Kepada siapakah Engkau serahkan aku? Adakah kepada orang yang jauh yang memandangku dengan muka yang masam atau pun kepada musuh yang Engkau berikan kepadanya milik untuk menguasai urusanku? Jika sekiranya tiada murkaMu terhadapku, aku tidak peduli, namun kemaafanMu lebih luas kepadaku. Aku berlindung dengan cahaya wajahMu yang telah Engkau pancarkan ke arah segala kegelapan, menjadi baiklah segala urusan dunia dan akhirat. Aku berlindung daripada turunnya ke atas murkaMu atau berlakunya ke atasku murkaMu. KepadaMu pengaduan yang sungguh-sungguh sehingga mencapai redhaMu. Tiada daya dan upaya melainkan pertolonganMu"
[Riwayat At-Thobrani dari hadith AbduLlah bin Ja’far]

Melihat akan keadaan yang yang sangat kritikal ini, maka Allah SWT telah menjemput Nabi Muhammad SAW sebagi tetamu untuk ‘memujuk’ kekasihNya itu setelah menerima tekanan demi tekanan di samping kehilangan orang-orang yang disayangi, melihat tanda-tanda kekuasaan Allah SWT, memberi pengajaran bahawa kuasa-kuasa pemerintah di bumi yang menekan perjuangan Islam itu hanyalah habuk-habuk halus jika dibandingkan dengan Kerajaan Allah SWT yang mencakupi langit dan bumi sebagaimana yang disaksikan sendiri oleh RasuluLlah SAW pada malam yang bersejarah itu.


Pengajaran Agung Yang Berguna Sehingga Qiamat

Allah SWT menghendaki pengembaraan Nabi Muhammad SAW di bumi ini berlaku pada waktu malam dari Masjidil Haram, tempat tinggalnya RasuluLlah SAW dan berakhir di Masjid Al-Aqsa. Mengapakah begitu? Bukankah lebih senang untuk Allah SWT memperjalankan terus hambaNya yang mulia ini bertemu denganNya di Sidrah al-Muntaha yang merupakan penghujung kepada pengembaraan ini? Mengapa perlu ‘singgah’ di Palestin yang ada padanya Masjid Al-Aqsa? Apakah simboliknya Baginda SAW menjadi imam kepada seluruh nabi-nabi dan rasul-rasul ‘alaihimussolatu wassalam yang terdahulu yang diutus kepada Bani Israel?

Perlu diingat percaturan ini dibuat oleh Allah ‘Azza Wa Jalla. Perjalanan ini bukanlah sembarangan tetapi ianya merupakan Perancangan Rabbani yang tersusun yang mempunyai hikmahnya yang tersendiri.


Kesinambungan Di Antara Masjid Al-Haram Dan Masjid Al-Aqsa

Sekiranya kita mengkaji dengan mendalam pada ayat yang pertama dari Surah Al-Israa’, kita akan dapati bahawa adanya kesinambungan di antara Masjid Al-Aqsa dengan Masjid Al-Haram, di antara Bayt Al-Muqaddis dan Makkah Al-Mukarramah. Maka, apakah signifikannya perkara ini?

Setiap percaturan Ilahi ada pengajaran yang hendak disampaikan. RasuluLlah SAW telah dipilih untuk menjadi imam solat dan para nabi ‘alihimussolatu wassalam semuanya menjadi makmum di masjid yang mempunyai sejarahnya yang panjang. Peristiwa ini menunjukkan kepada kita bahawa Allah SWT menghendaki supaya pimpinan Islam yang menjadi risalah kepada seluruh alam ini bertukar tangan dari Bani Israel kepada umat yang baru, rasul yang baru serta kitab yang baru.

Begitu juga Allah SWT menghendaki para hambanya yang terdiri dari kalangan sahabat mengambil cakna akan Masjid Al-Aqsa sebagaimana Masjid Al-Haram. Merindui untuk solat di Masjid Al-Aqsa sebagaimana rindunya untuk solat di Masjid Al-Haram. Berasa sukarnya untuk solat di Masjid Al-Aqsa sebagaimana sukarnya untuk solat di hadapan Ka’bah.

Ketika diturunkan ayat ini, hijrah belum lagi berlaku dan umat Islam Umat di Makkah pada ketika ini merupakan golongan lemah yang ditindas oleh Kerajaan Musyrikin Makkah. RasuluLlah SAW dan para sahabat tidak dapat mendirikan solat walaupun satu raka’at di bawah bayangan Ka’bah sama ada secara jamaah ataupun seorang tanpa tenang dari ejekan dan kekerasan pihak musuh.

Maka dalam keadaan yang sangat menekan inilah maka berlakunya mu’jizat Israa’ dan Mi’raj. Turunlah ayat-ayat menceritakan kepada umat Islam pada ketika itu perihal al-masjid al-Aqsa beserta sejarahnya supaya mereka mengambil cakna akan apa yang sebenarnya berlaku di sana sebagaimana tekanan yang mereka hadapi di Makkah pada ketika itu.

Para sahabat melihat sendiri kerosakan di sekeliling Masjid Al-Haram yang dicemari kesuciannya dengan penyembahan patung-patung berhala oleh golongan musyrikin. Lelaki dan perempuan mereka melakukan tawaf dalam keadaan telanjang. Keadaan di Masjid Al-Haram amat membimbangkan di bawah kuasa Kerajaan Musyrikin Makkah.

Maka begitulah juga keadaannya di Masjid Al-Aqsa. Tidak kurang perihalnya sebagaimana yang ada pada Masjid Al-Haram. Ketika berlakunya Israa’ dan Mi’raj dan ketika turunnya ayat ini, Bayt Al-Muqaddis berada di bawah cengkaman Kerajaan Rom yang merupakan salah satu kuasa besar dunia pada zaman tersebut selain Parsi, telah memesongkan ajaran agama samawi yang dibawa oleh Nabi Isa AS, melakukan syirik kepada Allah dan berbuat zalim kepada manusia.

Maka, hubungkait ini menuntut Umat Islam seluruhnya mengetahui akan tanggungjawab mereka terhadap Masjid Al-Aqsa, mempertahankannya dengan darah dan harta mereka sebagaimana mereka mempertahankan al-Masjid al-Haram dengan semangat ruh perjuangan Islam yang sangat tinggi harganya.


Hubung Kait Bani Israel DenganMasjid Al-Aqsa

سُبْحَانَ الَّذِى أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الاْقْصَى الَّذِى بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ ءايَـتِنَآ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ﴿1 وَءَاتَيْنَآ مُوسَى الْكِتَـبَ وَجَعَلْنَاهُ هُدًى لِّبَنِى إِسْرَءِيلَ أَلاَّ تَتَّخِذُواْ مِن دُونِى وَكِيلاً ﴿2 ذُرِّيَّةَ مَنْ حَمَلْنَا مَعَ نُوحٍ إِنَّهُ كَانَ عَبْدًا شَكُورًا ﴿3 وَقَضَيْنَآ إِلَى بَنِى إِسْرَءِيلَ فِى الْكِتَـبِ لَتُفْسِدُنَّ فِى الاٌّرْضِ مَرَّتَيْنِ وَلَتَعْلُنَّ عُلُوّاً كَبِيراً ﴿4 فَإِذَا جَآءَ وَعْدُ أُولَـهُمَا بَعَثْنَا عَلَيْكُمْ عِبَادًا لَّنَآ أُوْلِى بَأْسٍ شَدِيدٍ فَجَاسُواْ خِلَـلَ الدِّيَارِ وَكَانَ وَعْدًا مَّفْعُولاً ﴿5 ثُمَّ رَدَدْنَا لَكُمُ الْكَرَّةَ عَلَيْهِمْ وَأَمْدَدْنَـكُم بِأَمْوَلٍ وَبَنِينَ وَجَعَلْنَـكُمْ أَكْثَرَ نَفِيرًا ﴿6 إِنْ أَحْسَنتُمْ أَحْسَنتُمْ لاًّنفُسِكُمْ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا فَإِذَا جَآءَ وَعْدُ الاٌّخِرَةِ لِيَسُوءُواْ وُجُوهَكُمْ وَلِيَدْخُلُواْ الْمَسْجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّرُواْ مَا عَلَوْاْ تَتْبِيرًا ﴿7 عَسَى رَبُّكُمْ أَن يَرْحَمَكُمْ وَإِنْ عُدتُّمْ عُدْنَا وَجَعَلْنَا جَهَنَّمَ لِلْكَـفِرِينَ حَصِيرًا ﴿80

"[1] Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. [2] Dan Kami telah memberikan Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami jadikan Kitab itu petunjuk bagi Bani Israil (serta Kami perintahkan mereka): "Janganlah kamu jadikan yang lain daripadaKu sebagai Tuhan (untuk menyerahkan urusan kamu kepadanya)". [3] (Wahai) keturunan orang-orang yang telah Kami bawa bersama-sama dengan Nabi Nuh (di dalam bahtera)! Sesungguhnya ia adalah seorang hamba yang bersyukur. [4] Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: "Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau. [5] Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku. [6] Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya. [7] Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya. [8] Mudah-mudahan Tuhan kamu akan mengasihani kamu (kalau kamu bertaubat); dan jika kamu kembali (menderhaka), maka Kami pula akan kembali (menyeksa kamu di dunia); dan kami telah jadikan neraka: penjara bagi orang-orang kafir (pada hari akhirat).”

Surah Al-Israa': 1-8

Ayat-ayat suci ini menceritakan kepada mereka yang beriman tentang Yahudi darihal akhlaq keji mereka serta kerosakan yang mereka lakukan ke atas Masjid Al-Aqsa di mana Palestin pada ketika diturunkan ayat-ayat ini tidak ada seorang pun dari Yahudi yang mendiaminya sama ada di Masjid Al-Aqsa ataupun Bayt al-Muqaddis. Adapun para sahabat yang dipimpin oleh Nabi SAW pada ketika ini belum lagi berhijrah ke Madinah dan belum pernah pun berkomunikasi dengan Yahudi apatah lagi melihat tingkah laku mereka terhadap ajaran agama mereka sendiri sepertimana yang digambarkan dalam ayat-ayat di atas. Maka apakah tujuan peringatan awal ini?

Ini menunjukkan kepada kita bahawa Allah SWT telah memberi peringatan terhadap umat Islam seluruhnya supaya kita membuka mata akan hakikat kebejatan Yahudi dari segi akhlaq serta kerosakan yang mereka lakukan terutamanya apa yang mereka lakukan terhadap Masjid Al-Aqsa sehingga memberi faham kepada umat Islam ketika itu apakah pendirian serta tindakan yang perlu difikir bersama dan lakukan untuk ‘berinteraksi’ dengan mereka di masa hadapan berdasarkan pendedahan yang dibuat melalui ayat-ayat suci tersebut.

Kenyataan Allah SWT ini benar-benar berlaku apabila umat Islam telah melakukan hijrah ke Madinah dan menyaksikan sendiri tingkah laku golongan-golongan Yahudi yang menetap di sana. Mereka rasakan sendir betapa rasa dikhianati oleh Yahudi Bani Qainuqa’, Yahudi Bani Nadhir, Yahudi Bani Quraizhah, Yahudi di Khaibar sehingga kepada satu peringkat RasuluLlah SAW sebagai Ketua Negara terpaksa melancarkan serangan terhadap mereka setelah mereka mengingkari janji yang telah dimetrai melalui Perlembagaan Negara Madinah apabila mereka berkomplot untuk menentang kerajaan yang telah memberi perlindungan kepada mereka tetapi akhirnya mereka belot bergabung dengan Kerajaan Makkah yang syirik sebagaimana yang kita lihat dalam Perang Ahzab, dan banyak lagi pembelotan yang dilakukan mereka setelah mereka bersetuju untuk menerima Islam sebagai perlembagaan Negara.

Sikap mereka ini berkekalan sehingga ke hari ini, sama sahaja tidak ada perubahan sebagaimana yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam terdahulu. Setelah kita bertadabbur dengan ayat-ayat suci ini dapatlah kita saksikan sendiri betapa benarnya kenyataan-kenyataan Allah SWT darihal hubungkait Masjid Al-Aqsa dan Bani Israel sebagaimana sejarah lampau menunjukkan mereka tegak di atas dasar kerosakan dan mencemari kesucian Al-Aqsa serta bandar-bandar sekelillingnya, maka begitulah sikap mereka yang dapat kita lihat pada hari ini. Sejak dari dahulu lagi, setiap kerosakan yang mereka lakukan ke atas al-Masjid al-Aqsa maka Allah menghantar dari kalangan hamba-hambanya untuk mengatasi bangsa yang dilaknat ini. Dan perkara ini akan berterusan sehinggalah Allah menzahirkan umat Islam dengan kemenangan. Ini bermakna, pada zaman ini kitalah yang perlu menggalas amanah untuk menghalau serta menghinakan Bani Israel buat kali terakhirnya sebelum kita dapat melihat keadilan Islam dapat kembali tertegak di Bayt Al-Maqdis.

Allahu Akbar!



Rujukan
[1] Zaadul Ma’ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah
[2] Fi Zhilal as-Siroh an-Nabawiyyah: al-Israa’ Wal Mi’raj, Dr. Abdul Qadir Abu Faris
[3] Al-Quds: Qadhiyyah Kulli Muslim, Dr. Yusuf al-Qaradhawi
[4] As-Sirah an-Nabawiyyah, Abu al-Hasan Ali an-Nadawi

Read more...

Saturday, July 18, 2009

Bukan Semangat Biasa

‘Mahasiswa dan Semangat’ memang sinonim dengan gelodak jiwa anak muda. Tatkala sesuatu isu yang dirasakan mencubit sensitiviti dan melampaui batasan kongkongan, mahasiswa mudah sekali melenting dan melepaskan rasa ketidakpuasan hati. Namun, mahasiswa yang intelek mampu optimis dalam tugasan sehariannya, mampu ‘mengurus semangat’ yang timbul dalam jiwanya dan mampu menjadi agen pengubah minda masyarakat di sekelilingnya.

Kedudukan Jordan yang hampir dengan tanah suci Al-Quds ‘mewajibkan’ kita selaku yang mengakui diri sebagai ‘mahasiswa Muslim’ mengambil tahu, menghayati dan bertindak seboleh mungkin mengikut kapasiti selaku mahasiswa dalam menangani isu ‘Tragedi Berdarah Al-Quds’. Sesungguhnya, ‘surat cinta teragung’ daripada Ar-Rahman telah menzahirkan nama Al-Quds melalui firman-Nya dalam surah Al-Isra’ ayat 1,
“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami Berkati sekelilingnya (Masjidil Aqsa dan daerah sekitarnya mendapat berkat daripada Allah SWT dengan diturunkan nabi-nabi di negeri itu dan juga kesuburan tanahnya), agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat.”
Bersempena dengan bulan Rejab yang kita sedia maklum, tercatat dalam lembaran sirah mengenai peristiwa Isra’ dan Mikraj Rasulullah SAW, dan juga bersempena dengan program ROQS 2009 kali ini, marilah bersama-sama kita melapangkan dada menerima mutiara berharga, melembutkan hati menerima kebenaran yang telah nyata, meringan-ringankan diri menghulurkan apa yang terdaya, mudah-mudahan bulan Rejab pada tahun ini adalah lebih baik ‘penghayatan Isra’ dan Mikraj’, sesuai dengan pertambahan umur dan nikmat daripada-Nya.

Buangkanlah sifat ego, jinakkanlah nafsu yang meraja, semarakkan semangat Islam tulus dari dalam jiwa, agar kita adalah mahasiswa Muslim yang peka, bukan pekak. Sesungguhnya, Allah SWT telah menjanjikan kemenangan itu pasti milik Islam, namun, masa dan ketikanya, adalah luar daripada jangkauan dek akal kita. Alangkah indah, seandainya kita yang yang menjadi batu-batu asas dan pembakar semangat kegemilangan kejayaan Islam pada masa depan. Usah dibiarkan ketukan hidayah yang bertamu di hati, usah diabaikan suasana rosak di sekeliling menghantui diri, bersama-samalah kita bermuhasabah membuat anjakan paradigma, meningkatkan sensitiviti dan bertindak terhadap isu umat Islam, khususnya buat kita yang berada beberapa jengkal sahaja dengan Palestin, yang kini ‘pupus’ di dalam peta dunia.

Namun, apa yang diharapkan agar semangat yang lahir sebelum dan semasa program ROQS 2009 ini, bukan semangat biasa yang hidup dek kayu api yang menyala dan lupus dek bayu angin yang bertiup. Mudah-mudahan, salah satu daripada resolusi PERTAMA kali ke-2 pada 7-8 Februari 2008 yang lalu, iaitu ‘meningkatkan kesedaran mahasiswa Jordan terhadap isu Palestin’ berhasil melahirkan kader-kader Islam yang menyayangi dan menghargai nilai nyawa sesama Muslim kerana Allah.

Rasulullah SAW bersabda, “Tidak beriman seseorang itu sehinggalah dia menyayangi saudaranya sebagaimana dia menyayangi dirinya sendiri”.

Wallahu A’lam.




Nurul Ain binti Samsuddin,
Timbalan Presiden 2,
Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan,
Sesi 2009/2010.

Read more...

Thursday, July 16, 2009

a dispatches [investigation]: The Killing Zone (Complete)


British report on Israeli violence in Gaza against not only Palestinian civilians, but international aid volunteers and foreign reporters as well.

Read more...

Terbaeeek~

Nantikan kemunculannya!
Hanya di ROQS 2009...

Read more...

Tragedi An-Naksah: Kekalahan Paling Mengaibkan

Oleh: Dr. Hafidzi Mohd Noor
Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE)



EMPAT puluh dua tahun lalu, satu peristiwa bersejarah berlaku kepada dunia Islam. Tanggal 5 Jun 1967 menyaksikan Israel melancarkan operasi ketenteraan secara besar-besaran ke atas Republik Arab Bersatu (Mesir), Jordan dan Syria secara serentak.

Peperangan yang dikenali dalam sejarah konflik Asia Barat sebagai "Perang Enam Hari" itu berakhir pada 10 Jun 1967.

Dalam tempoh itu, Israel berjaya menewaskan tiga negara Arab walaupun negara-negara itu turut dibantu oleh Arab Saudi, Iraq, Algeria, Tunisia, Sudan, Somalia, Maghribi, Mauritania, Yemen, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu, Oman dan Qatar dengan membekalkan askar dan kelengkapan tentera.

Mesir menerima pukulan paling dahsyat apabila lebih 10,000 askarnya terkorban. Angkatan udaranya musnah sama sekali apabila kira-kira 300 jet pejuangnya diranapkan oleh tentera Israel dalam serangan mengejut.

Apabila serangan berakhir, Israel menguasai Tebing Barat, Genting Gaza, Baitulmaqdis Timur, Tanah Tinggi Golan dan Semenanjung Sinai. Dalam serangan itulah Masjid Al-Aqsa ditawan, sehinggalah ke hari ini.

Kekalahan besar yang amat memalukan seluruh dunia Arab dan Islam itu diperingati sebagai "Hari An-Naksah" (Hari Kekalahan). Ia adalah tragedi besar kedua menimpa umat Islam dan dunia Arab khususnya.

Pertama ialah "Hari An-Nakbah" (Malapetaka) yang berlaku pada 15 Mei 1948. Peristiwa itu membawa kepada penubuhan negara Israel di atas 77 peratus tanah Palestin yang dirampas. Peristiwa An-Nakbah dikaitkan dengan pengusiran 800,000 rakyat Palestin yang kini menjadi pelarian di Syria, Jordan, Lubnan dan Mesir (Gaza).

An-Naksah pula melengkapkan penaklukan Israel ke atas keseluruhan tanah Palestin dan status qou itu berterusan sehingga kini.

Mesir semasa era Presiden Anwar Sadat berjaya membuat kejutan dengan menyerang kedudukan tentera Israel di Semenanjung Sinai dalam "Perang Oktober 1973" atau "Perang Ramadhan". Kemenangan Mesir bagaimanapun tidak dapat disempurnakan apabila AS campur tangan dan satu gencatan senjata dilaksanakan.

Pertimbangan politik oleh Mesir itu akhirnya membuka laluan kepada termeterainya perjanjian damai Mesir-Israel 1978. Perjanjian damai Camp David itu mengembalikan Semenanjung Sinai kepada Mesir.

Namun harga yang terpaksa dibayar oleh rakyat Palestin khususnya di Gaza berterusan. Perjanjian itu menyaksikan Mesir mengiktiraf Israel dan bertanggungjawab menjamin keselamatan entiti Israel terutama di Genting Gaza.

Jika laluan di Rafah ditutup sehingga rakyat Gaza yang cedera dalam serangan akhir tahun lalu dan awal tahun ini tidak dibenarkan menyeberang untuk mendapat rawatan di Mesir, ia adalah kesan daripada 'perjanjian damai Mesir-Israel pada 1978 itu.

Apakah reaksi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)? Seperti yang dijangka, PBB bersidang dan meluluskan Resolusi 242 yang mengkehendaki Israel berundur ke garisan hijau yang diputuskan oleh Perjanjian Rhodes pada 1949.

Ini bermakna Israel perlu keluar dari semua wilayah yang didudukinya pada Jun 1967. Pendudukan ke atas wilayah Palestin di Tebing Barat, Genting Gaza dan Baitulmaqdis Timur adalah pendudukan haram. Bagaimanapun Israel tidak mempedulikan resolusi tersebut dan juga resolusi-resolusi lain.

Bagi Israel, PBB adalah sebuah pertubuhan yang "tidak berkuku dan bertaring". Ia berasa kuat selagi AS berada di sampingnya.

Hari An-Naksah juga menandakan tarikh Masjid Al-Aqsa ditawan oleh tentera Zionis. Sejak itu, ia terdedah kepada ancaman dan perbuatan keji Zionis. Ia termasuk peristiwa masjid itu dibakar pada 21 September 1969 yang diingati sebagai "Hari Al-Quds" setiap tahun.

Zionis juga menggali terowong-terowong rahsia di bawah masjid itu bertujuan melemahkan tapaknya. Kumpulan ekstremis Zionis turut merancang merobohkan masjid itu dan mendirikan synagogue (kuil) yang mereka namakan Haikal Sulaiman.

Pada September 2000, lebih 1,000 askar Israel memasuki kawasan masjid untuk membangkitkan kemarahan rakyat Palestin dan umat Islam. Peristiwa biadap itu mencetuskan "Intifada".

Selain itu, rejim Zionis juga melaksanakan agenda me-Yahudikan kawasan masjid itu dan Baitulmaqdis Timur. Rumah-rumah penduduk Palestin dirobohkan, tanah mereka dirampas, mereka diusir dan status pemastautin mereka dibatalkan.

Israel kemudian membina unit-unit apartmen dan perumahan eksklusif untuk pendatang haram Yahudi di situ.

Pembinaan tembok pemisah di Tebing Barat yang kini menjangkau 800 kilometer panjang membuktikan usaha Israel mengepung rakyat Palestin dan menyukarkan mereka menziarahi Masjid Al-Aqsa. Inilah jenayah yang terus menjadi agenda Israel di Palestin.

Hari ini Israel terus berdolak-dalik dengan penyelesaian dua negara (two-state solution). Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu tanpa rasa bersalah menolak penyelesaian dua negara itu dan juga usaha mewujudkan negara Palestin.

Sikap itu diambil meskipun semua perjanjian damai yang ditandatangani bersama Fatah sejak Perjanjian Oslo 1990 berdasarkan kepada Resolusi 242 yang diluluskan pada 1967.
Jika inilah pendirian yang dipertahankan oleh Israel, apakah dunia masih meletakkan harapan kepada "penyelesaian dua negara" itu?

Mungkin sudah tiba masanya dunia menimbang formula yang ditawarkan oleh Hamas iaitu Israel berundur dari wilayah yang didudukinya sejak 1967, menghentikan kepungan ke atas Gaza dan membentuk gencatan senjata jangka panjang tanpa perlu Palestin mengiktiraf kewujudan Israel.

Namun bersediakah Israel mengiktiraf negara Palestin? Hakikatnya mereka adalah perampas tanah Palestin dan kewujudan Israel di atas tanah yang dirampas sejak 1948 itu adalah kewujudan haram.

Maka pilihan yang terbaik ialah akur kepada Resolusi 242 dan mana-mana resolusi yang berkaitan seperti Resolusi 338. Kemudian bersetuju dengan gencatan senjata panjang.

Sekurang-kurangnya keamanan ke atas wilayah bergolak itu dapat diwujudkan buat sementara waktu sehingga masyarakat antarabangsa mencari ruang kepada pelaksanaan pelan penyelesaian yang berkekalan.


Ehsan daripada blog Lambaian Islah. Artikel ini telah disiarkan di dalam Utusan Malaysia pada 5 Jun 2009.

Read more...

Wednesday, July 15, 2009

Untukmu Palestin: Lupakah Kita?

Oleh: Muhammad Aizat Amiruddin
Fakulti Perubatan, Jordan University of Science & Technology
Tobek Ardi


Assalamualaikum WBT dan Salam Perjuangan Pembebasan.

Percaya atau tidak, keparahan luka di bumi Palestin pada hari ini adalah cerminan kepada betapa hodohnya perangai dan pemikiran kita umat Islam kini. Adalah sesuatu yang amat memalukan, apabila 1.3 billion umat Islam tidak mampu mengusir hanya beberapa juta penduduk haram Yahudi di tanah Palestin. Ia sungguh memalukan!

Telah menjadi suatu lumrah, apabila sesuatu kelompok itu ditekan, pada peringkat permulaan mereka akan bangkit menentang dengan segala kekuatan dan semangat berkobar-kobar. Namun lama-kelamaan, semangat itu sedikit demi sedikit terhakis, kemudiannya menjadi satu kelompok suara minoriti dan kemudiannya semakin luput ditelan zaman. Kini, suatu penjajahan yang ditentang habis-habisan satu ketika dahulu sudah tidak lagi menjadi sesuatu yang memalukan, dan akhirnya ia dianggap sesuatu yang harus diterima sebagai suatu hakikat yang tidak mungkin diubah lagi… Inilah sikap umat Islam kini, khususnya terhadap isu Palestin.

Ramai di kalangan umat Islam sudah tidak yakin bahawa umat Islam mampu merampas kembali Palestin. Ramai yang terlalu kagum dengan kuasa besar Amerika dan sekutunya negara haram Israel lalu menganggap bahawa mereka adalah kuasa kebal yang tidak mungkin dapat dikalahkan, dan Palestin tidak mungkin dapat dikembalikan.

Kalau itulah yang anda fikirkan, anda silap!

Lupakah kita, bagaimana susah dan payahnya perjuangan dakwah Rasulullah saw, yang tidak kenal erti rehat dan senang-lenang yang kemudiannya diteruskan oleh para sahabat Radhiallahu’anhum, sehingga akhirnya terbukanya Baitul Maqdis di tangah khalifah agung Umar al-Khattab RA dan sekaligus membebaskannya dari cengkaman kuasa Rom, yang merupakan kuasa besar dunia ketika itu?

Lupakah kita, bagaimana Baitul Maqdis pernah dirampas oleh tentera salib, namun dengan semangat dan kekentalan iman dan keteguhan syakhsiah, umat Islam di bawah pimpinan Salahuddin al-Ayyubi telah berjaya merampas semula Baitul Maqdis, dan tentera salib hanya sempat memerintah selama 90 tahun?

Dan lupakah kita, pada semangat perjuangan rakyat peribumi Palestin:

Revolusi al-Quds pada 1920,
Revolusi al-Buraq 1929,
Perjuangan Kumpulan Jihadiyyah yang dipimpin oleh al-Qassam,
Revolusi Agung dalam akhir 1930-an,
Operasi-operasi Komando Palestin sekitar akhir 1960-an,
Intifadah Pertama sekitar 80 dan 90-an,
Intifadah Kedua pada September 2000...

serta siri perjuangan yang tidak pernah henti oleh penduduk Palestin, yang menjadi saksi kecekalan mereka mempertahankan tanah umat Islam dari perampas Zionis, walaupun dengan kekuatan persenjataan yang sangat sedikit?

Semua ini menjadi hujah ke atas kita bahawa jikalau musuh yang kita hadapi itu adalah kuasa besar dunia sekalipun, kita sebenarnya mampu!! Kita mampu dapatkan semula hak kita yang telah dirampas, setiap inci persegi bumi Palestin. Rentetan sejarah ini harus sentiasa diulang dan diingati agar semangat kita untuk Palestin tidak akan pernah luntur.

Justeru, program seperti Roadshow seperti ini adalah amat penting dalam mengembalikan ingatan kita kepada sejarah kita yang silam - bukan untuk dikenang-kenang, bukan juga untuk dibangga-banggakan, sebaliknya untuk menjadi bukti dan pembakar semangat, bahawa umat Islam mampu dan akan membebaskan Palestin dari penjajah dalam masa yang terdekat ini. Kita pantang menyerah sebelum berjuang, pantang maut sebelum ajal.

Semoga dengan penganjuran Roadshow Al-Aqsa ini dapat mengingatkan kita pada sejarah perjuangan gemilang umat Islam terhadap Palestin, selanjutnya menggerakkan jiwa dan jasad kita untuk terus bertindak mempertahankan dan mendapatkan semula bumi Palestin yang telah dirampas oleh musuh-musuh Allah.

Marilah kita bertindak segera dan berjuang dengan segala kemampuan yang ada untuk Palestin, kerana selagi Palestin masih terjajah, usaha membebaskannya terpikul di bahu kita, di bahu semua Muslim. Masing-masing boleh memainkan peranan yang berbeza dan pelbagai mengikut kapasiti dan kreativiti masing-masing. Tepuk dada, tanyalah iman akan peranan anda untuk Palestin.

Akhir kata, marilah kita kembali kepada Islam yang sebenar lalu yakinlah, bahawa Islam pasti menang.


HIDUP PALESTIN!

Read more...

Uyghur: Sejarah 13 Tahun Pertama Islam Kembali Berulang

Artikel berikut telah diubahsuai daripada artikel asal untuk bacaan umum.
Ehsan blog Ikut Suka Aku.


Assalamualaikum WBT.

Alhamdulillah, Allah telah beri saya kesempatan untuk mendengar situasi yang berlaku di Turkestan Timur (Xinjiang) oleh seorang yang berketurunan Uyghur. Segala butiran tidak dapat disebut di sini tetapi saya akan cuba menulis apa yang sempat saya dengar dan catit agar rakyat Malaysia, khususnya yang membaca blog ini dapat memahami bagaimana penderitaan dan keadaan sebenar di wilayah tersebut.

Sebelum meneruskan penulisan, beberapa perkara yang harus ditekankan di sini iaitu:
  1. Orang Uyghur pantang sekali (tak suka) memanggil kawasan mereka sebagai Xinjiang. Ini kerana Xinjiang bermakna 'tanah jajahan baru'. Nama Xinjiang ni pun diberi oleh kerajaan China dan bukanlah nama asal tempat itu. Maka mereka tak suka dengan nama penjajah ni. Mereka lebih suka memanggil kawasan mereka itu sebagai Turkestan Timur. Sebabnya dari segi sejarah, wilayah yang didiami oleh orang Uyghur ni termasuk dalam wilayah Turkestan (tanah orang Turk). Jadi lokasi mereka adalah di kawasan Turkestan Timur.
  2. Orang Uyghur bukan orang Cina. Rupa mereka lebih mirip kepada penduduk Turki. Dikatakan ramai penduduk Turki berasal dari kawasan wilayah yang didiami oleh orang Uyghur.
  3. Orang Cina yang sebenar di kawasan Turkestan Timur ini adalah daripada keturunan/etnik Han. Mereka ini dihantar oleh kerajaan China untuk menetap di Turkestan Timur itu supaya komuniti Uyghur dapat hapuskan secara halus.

Sedikit info mengenai etnik Uyghur

Pada kurun ke-17, Rusia & China melakukan penjajahan di kawasan sekitarnya, maka Turkestan terbahagi kepada Turkestan Barat dan Turkestan Timur.

Turkestan Barat dijajah oleh Rusia semenjak 1865 dan telah dibahagi kepada 5 wilayah republik pada 1922 iaitulah Uzbekistan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Turkmenistan dan Tajikistan.

Turkestan Timur pula dijajah oleh China dan diberi nama Xinjiang seperti yang saya nyatakan sebelum ini. Mereka hilang kemerdekaan pada tahun 1949 kepada rejim komunis China.

Populasi di kawasan Turkestan Timur mengikut statistik rasmi Kerajaan China pada tahun 1990, populasi orang Muslim Uyghur adalah 10 juta. Walaubagaimanapun, mengikut bancian yang dijalankan sebuah badan bebas, terdapat lebih kurang 25 juta Muslim Uyghur menetap di sana (macam populasi Malaysia!). Ingat, itu adalah bancian pada tahun 1990 ye. Kenapa ada perbezaan yang sangat ketara antara populasi rasmi dan tak rasmi?

Sebabnya, Kerajaan China mengamalkan polisi yang hanya membenarkan orang Uyghur melahirkan dua anak sahaja di dalam sesebuah keluarga. Tapi mereka sebenarnya telah melahirkan anak yang lebih ramai secara senyap. Menurut pakcik Uyghur yang saya temui itu, anak-anaknya sahaja sudah ada 12 orang tapi yang berdaftar dengan kerajaan hanyalah dua orang. Ini jelas menunjukkan populasi Muslim Uyghur melebih 10 juta sebenarnya!

Muslim Uyghur juga menghadapi cabaran pembersihan etnik, budaya, bahasa, dan paling penting agama. Semasa bulan Ramadhan, mereka terpaksa bergelap apabila mahu berbuka puasa dan bersahur untuk menyembunyikan hakikat yang mereka ini beramal dengan ajaran Islam. Sampai macam tu sekali! Pada masa yang sama, Muslim Uyghur yang bekerja dengan kerajaan juga tidak dibenarkan solat, puasa, memakai tudung dan sebagainya. Ada kemungkinan mereka boleh ditembak mati sekiranya didapati mengamalkan ajaran Islam.

Mereka terpaksa belajar Al-Quran secara underground. Guru-guru merisikokan diri untuk mengajar Al-Quran.

Kerajaan China juga berusaha menghapuskan sistem pendidikan masyarakat Uyghur. Mereka dilarang menggunakan bahasa ibunda mereka semasa sesi pembelajaran.

Sekiranya anda melayari laman-laman web Uyghur, kebanyakkan bahasa mereka ditulis dalam huruf-huruf Arab.

Dahulu, kaum Han di Turkestan Timur hanyalah 4%. Sekarang sudah meningkat kepada 41%.

Kerajaan China telah mengambil semua passport orang Uyghur dan tidak membenarkan mereka keluar dari China. (No wonder kita jarang-jarang sangat jumpa Muslim dari belah-belah sana di Tanah Haram.)

Selain komuniti Muslim Uyghur dan etnik Han, terdapat juga 5% masyarakat Hui tinggal di wilayah Turkestan Timur dan kebanyakannya beragama Islam. Berbeda dengan etnik Uyghur, etnik Hui ini adalah bumiputera asli China, makanya Kerajaan China membenarkan mereka untuk mengamalkan Islam, tapi masih dalam keadaan terhad juga.

Oklah, cukuplah dulu berkenaan fakta-fakta dan latar belakang. Kalau nak tahu lebih lagi, google saja. Memang termuntah nak baca semua.


Berkenaan dengan rusuhan yang berlaku 5 Julai lalu

Rusuhan berlaku disebabkan tekanan yang telah sekian lama dihadapi oleh masyarakat Uyghur. Kalau rajin boleh rujuk di sini (cari Turkestan Timur - sebuah penulisan Harun Yahya tentang masyarakat di Turkestan Timur)

Antara pencetus rusuhan yang berlaku adalah disebabkan konfrontasi yang berlaku di sebuah kilang di Guangdong, di mana sejumlah besar masyarakat Uyghur bekerja. Nak dijadikan cerita, pada satu malam tu, sekumpulan 'samseng' orang Cina (kalau bukan etnik Han siapa lagi) datang membelasah dan membunuh pekerja Uyghur tanpa apa-apa tujuan. Apaila diminta untuk siasat, pihak pengurusan tidak mengambil sebarang tindakan. Polis pula mendakwa 'ini hanyalah salah faham kecil sahaja'. Maka yang terbunuh tidak dapat pembelaan, bahkan orang Cina katanya menyokong pembunuhan pekerja-pekerja Uyghur yang malang tadi. Tak ubah seperti Yahudi.

Atas dasar keadilan, hampir 90% orang Uyghur turun mengadakan tunjuk perasaan dan protes secara besar-besaran lantaran kebiadaban yang keterlaluan daripada orang Cina. Maka berlakulah tragedi berdarah yang menyaksikan beratus-ratus, mungkin beribu-ribu penduduk di sana terkorban.

Bagi mengelakkan keadaan semakin tegang, Kerajaan China telah memutuskan semua saluran komunikasi di sekitar wilayah Turkestan Timur. Telefon dan internet telah diputuskan untuk mengelakkan tersebarnya berita dan maklumat mengenai apa yang berlaku di sana di samping untuk menghalang penduduk Uyghur ini melancarkan Intifada untuk menentang etnik Han dan Kerajaan China yang mengkin boleh menggugat kedudukan mereka.

Dikatakan situasi mereka di sana lebih buruk jika hendak dibandingkan dengan apa yang berlaku di Palestin atas sebab berikut:
  1. Media tidak dibenarkan masuk untuk membuat liputan di kawasan masyarakat Uyghur sejak dahulu lagi. Tidak hairanlah kita seolah-olah baru pertama kali mendengar kisah penindasan ke atas entik Uyghur ini. Baru-baru ini mungkin berita tercetusnya rusuhan kaum di sana sudah tidak dapat dibendung.
  2. Hingga ke hari ini, tiada pihak tampil membela mereka. Baik yang Muslim mahupun Antarabangsa. Mereka tidak mempunyai sebarang pertubuhan mahupun organisasi yang dapat membela kebajikan dan kewangan mereka secara amnya.
  3. Mereka juga dicengkam oleh kuasa besar dan berada di dalam negara yang sememangnya mengidamkan kawasan Turkestan Timur itu untuk ditakluki (China lah, siapa lagi). Nak tahu kenapa? Baca di sini.
Akhirnya, pakcik Uyghur tadi semasa menceritakan situasi di sana berkata kepada saya, "kami bergantung harap pada Allah SWT jelah sekarang... Susah nak nampak jalan-jalan lain yang mudah."

Sebenarnya banyak usaha yang boleh dilakukan, tapi yelah... Malaysia pun nampaknya beriya-iya nak kekalkan hubungan diplomatik dengan China yang kononnya nak jadi kuasa besar dunia yang seterusnya. Beranikah Malaysia hendak menegur China? Entahlah.

Dunia Arab, mahupun dunia Islam yang lain juga menyepi. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pun sama. SEPI. Semasa Gaza diserang dahulu, bukan main lagi. Sekarang, tiada langsung suara menyatakan bantahan terhadap China. Bekas Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin sendiri mengakui di United Kingdom tiada langsung liputan secara besar-besaran mengenai rusuhan kaum terburuk di China ini.

Apakah kita mahu ikut sama untuk bersepi-sepian di dalam hal ini?

Kita kadangkala rasa seronok dan tiada apa yang hendak dirisaukan kerana kita tinggal di dalam zon yang selesa di Malaysia (mahupun di Jordan) yang aman makmur ini. Tiada siapa nak tindas (walaupun bibit-bibitnya sudah mula ada di tanah air, cuma orang Melayu je yang masih tak sedar-sedar). Tapi sejauh manakah keprihatinan kita terhadap saudara seakidah kita di tempat lain? Seharusnya kita insaf!

Hakikatnya, penindasan ke atas umat Islam hari ini - tidak kiralah di Palestin ke, Turkestan Timur ke, Bosnia ke, dan sebagainya - semuanya melambangkan betapa umat Islam - hari ini, ketika ini dan saat ini - adalah sebuah umat yang lena, lembik, lesu, lemah, longlai, bla bla bla... Letaklah apa-apa perkataan lain yang sesuai. Seperti yang dinyatakan saudara Hilal Asyraf sebelum ini, andai kata kita masih leka dengan nikmat dunia yang tidak seberapa, andai kata kita masih tidak sedar dari lena yang tidak berkesudahan, maka tunggulah masa kita ditindas tiba nanti. Tunggulah!

Oleh itu bangunlah kawan-kawan. Fikirkan masa depan kita 'di sana'. Kembalilah kepada landasan Islam yang sebenar. Suburkan kembali hati dan jiwa kita dengan ruh Islami. Berhentilah berhibur dan bersenang-senang di saat orang lain menderita dan sengsara. Sesungguhnya kesenangan dunia hanya bersifat sementara, namun kesenangan akhirat jualah yang kekal abadi.

Cukuplah rasanya sampai di sini dahulu. Diharapkan rujukan yang disertakan bersama artikel ini dapat membantu kita sedikit sebanyak dalam usaha kita nak memahami situasi di wilayah Turkestan Timur, seterusnya mencari langkah yang sesuai dan wajar untuk kita ambil bagi membela saudara kita di sana. Mereka pun saudara seIslam kita juga, saudara kita bukanlah penduduk Palestin semata-mata. Oleh itu janganlah kita bersikap double standard dalam membincangkan isu Ummah.

Takutilah kita semua akan azab yang menanti di akhirat nanti kerana mengabaikan saudara kita di seluruh dunia.

Ittaqullah, haithuma kuntum...



Wassalamualaikum WBT.

Untuk maklumat terkini mengenai hal ehwal semasa di Turkestan Timur, layari http://www.uygur.org/

Read more...

Tuesday, July 14, 2009

Secangkir Pengajaran Dari Kejauhan

Oleh: Ummu Nuha
Fakulti Perubatan, Jordan University of Science & Technology

Kisah tangisan di bumi Palestin tak pernah reda. Yahudi tidak pernah puas dengan apa yang mereka kecapi. Selagi bumi Palestin belum menjadi milik mereka sepenuhnya, mereka bisa melakukan apa saja untuk menawan Aqsa dan sekelilingnya.

Yang pasti, masyarakat kita perlu sedar, isu ini bukan isu picisan bagi rakyat Palestin saja, juga bukan juga isu serantau Arab semata. Malah isu ini membabitkan maruah dan air muka seluruh umat Islam di seantero dunia yang menyaksikan Keesaan Allah dan Kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Masalahnya, berapa ramai antara kita yang masih prihatin tentang isu tak berkesudahan ini?

Satu ketika dahulu, ketika bumi Gaza diserang, kita dapat melihat pelbagai reaksi. Baik dari pihak media, pihak mahasiswa, pihak kerajaan dan lain-lain. Semua bagai berlumba-lumba memberikan perhatian dan bantuan. Namun apabila terhentinya serangan Yahudi ke atas Gaza, walaupun dengan erti kata lainnya, mereka hanya berhenti menyerang tetapi mereka tidak berundur sepenuhnya, kita melihat sedikit demi sedikit, makin ramai antara kita yang semakin melupakan penderitaan saudara-mara kita di sana. Jika dahulunya boikot produk Yahudi, kini kita kembali membelinya. Yang nyata, simpati kita bermusim, bukan?

Simpati 4 musim

Jika benar simpati, jangan biar bermusim. Suburkan perasaan itu agar sebati dalam jiwa. Agar mulut kita tidakkan lekang dari mendoakan mereka. Fikiran kita tidakkan lekang dari memikirkan perjuangan mereka. Hati kita tidakkan lekang dengan semangat jihad seperti semangat juang yang dipunyai oleh mereka.

Nikmat yang tidak disyukuri

Alhamdulillah, alhamdulillah thummalhamdulillah, kita dikurniakan nikmat keamanan tinggal di Malaysia. Namun nikmat itu kadang-kala tidak disyukuri dengan sebaiknya. Nikmat keamanan yang tidak digunakan sepenuhnya untuk menyubur keimanan. Di Malaysia, kita berupaya solat di mana-mana, kita bebas berhijab, menjaharkan bahawa kita adalah Muslim tanpa takut akan ancaman. Kita berupaya untuk khusyuk dalam solat tanpa risau diri mungkin bakal menjadi mangsa peluru tak bermata. Namun berapa ramai antara kita yang menghargai dan mensyukuri nikmat itu?

Kerana negara kita aman, anak-anak muda Melayu bebas keluar 'clubbing' dan me'remp-it' di waktu malam. Anak gadis pula bebas keluar berpeleseran bersama 'jantan-jantan' tidak dikenali. Siapa kata ia hanya momokan media? Siapa kata ia hanya skrip rekaan yang sering dipaparkan oleh Gerak Khas atau filem-filem melayu? Inilah realiti sebenar yang berlaku – cara orang muda di negara kita mensyukuri keamanan.

Kasihan mereka...

Kasihan kita semua...

Bersatu melangsaikan hutang dakwah
"Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali mereka yang berpesan-pesan dalam kebenaran dan mereka yang berpesan-pesan dalam kesabaran."
Al-Asr: 2-3
Dakwah, dakwah dan dakwah

Tidak patut kita yang lebih berkefahaman, menyalahkan mereka yang jahil. Jadi di sinilah peranan utama kita. Berdakwahlah tanpa sempadan. Berdakwahlah menggunakan isu yang boleh membangkitkan sensitiviti umat Islam. Bangkitlah semua mahasiswa! Galaslah tugas dakwah ini. Sedarkan rakan-rakan kita yang terleka kerana kita masih belum terlewat. Biar mereka tahu, kita perlu hidup cara Islam dan bersatu di bawah lembayung Islam untuk membantu sahabat-sahabat yang seIslam. Allahu akbar!

Seksalah jasadku, takkan ku tunduk pada kejahilan kerana sedang mengalir di seluruh tubuhku kalimah Tuhan dari lidah Rasulmu.

Jika semua masyarakat Islam faham dan bersatu, pasti impian kita sema untuk melihat Masjidil Aqsa kembali ke tangan umat Islam menjadi realiti!

Read more...

Monday, July 13, 2009

Palestin: Satu Teguran Daripada Allah

Oleh: Hilal Asyraf
Langit Ilahi

Alhamdulillah, kita amat bersyukur kepada Allah kerana diberikan masa dan peluang untuk terus hidup. Sesungguhnya peluang kehidupan ini perlulah kita isi dengan sebaiknya, diisi dengan amal-amal yang berguna kerana sesungguhnya manusia yang rugi itu adalah manusia yang kehidupannya tidak dikira oleh Allah SWT.

Penghujung tahun 2008 dan awal tahun 2009, menyaksikan bahawa kita sekali lagi dicalarkan dengan sikap durjana Yahudi dan kuncu-kuncunya yang dengan terang-terangan, dengan tanpa segan silu hendak memusnahkan Gaza, satu-satunya tanah yang masih bebas dari cengkaman mereka dan hendak melepaskan Masjidil Aqsa dari pegangan tangan Muslim seluruhnya.

Hati siapa yang tidak pilu apabila melihat perkara tragis yang berlaku ini. Hakikatnya Gaza itu tidak seluas mana, tetapi diserang oleh 200 buah jet pejuang yang melepaskan bom secara membuta tuli pula. Angka kematian meningkat mendadak mencecah ribuan. Saya yakin, angka sebenar adalah lebih tinggi dari apa yang terpampang di dalam akhbar mahupun sumber internet. Dan angka kematian dalam tragedi itu akan terus meningkat, meningkat dan meningkat sehinggalah seluruh Gaza itu hangus seperti padang jarak padang terkukur, sehingga orang Islam tunduk menyerahkan Masjidil Aqsa kepada Yahudi.

Allah SWT berfirman:
“Dan tidak akan sekali-kali redha ke atas kamu yahudi dan nasara, sehinggalah kamu mengikuti ajaran mereka”
Al-Baqarah: 120
Tidakkah askar Israel mempunyai belas ihsan?

Tidak. Ketika serangan hari pertama yang mengorbankan manusia sebanyak 120 orang, mereka menyatakan bahawa,

“Ini baru permulaan”

Ini menunjukkan mereka memang bernafsu besar untuk menghapuskan segala tentangan mereka pada masa ini. Masjidil Aqsa pula sedang berada di hujung tanduk sahaja. Yang membelanya akan pergi tidak lama lagi. Sebahagian orang berharap akan munculnya rasa belas ihsan daripada Israel, maka sukalah saya memberitahu di sini, mereka tidak akan mempunya belas.

Peristiwa ini hakikatnya adalah satu teguran Allah kepada kita. Pada saya, kita tidak sepatutnya memandang remeh akan hal ini. Cuba kita ingati kembali peristiwa tsunami yang berlaku pada 26hb Disember 2004. Malaysia juga terasa akan gegarannya, sehingga menganggu Pulau Pinang dan sebahagian negeri Kedah.

Kita fikir semula pada saat itu, ramai yang menyatakan bahawa itu adalah teguran Allah SWT. Ada orang kata, manusia telah lalai dari mengingati Allah menyebabkan Allah menghantar amaran. Saat itu, kerana dasyatnya tsunami yang berlaku, maka manusia menggelar peristiwa itu sebagai kiamat kecil.

4 tahun selepas itu, pada tarikh yang lebih kurang sama 27 Disember 2008, Israel telah memulakan serangannya yang terdahsyat ke atas tanah kecil bernama Gaza. Kalau kita perhatikan persamaan antara dua-dua tempat, Aceh dan Gaza, kita akan nampak bahawa kedua-dua tempat itu adalah tempat orang Islam, bumi orang Islam.

Kalau kita boleh namakan Tsunami Disember 2004 sebagai teguran Allah, kenapa serangan Israel ke atas Gaza Disember 2008 bukan merupakan teguran Allah?

Ketahuilah saudara-saudari yang saya hormati, Masjidil Aqsa, tanah Palestin itu adalah salah satu dari tiga tanah suci kita. Allah SWT berfirman,
“Maha Suci Allah yang telah mengisra’kan hambaNya (Muhammad) pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, yang kami berkati sekelilingnya untuk diterangkan kepadanya dari ayat-ayat Kami”
Surah Al-Isra’: 1
Allah menurunkan bala dan kesusahan atas tanah suci yang diberkati olehNya sendiri. Apakah maksud ini?

Inilah namanya teguran. Teguran yang hendak menyatakan bahawa ummat Islam hari ini telah jauh dari pegangan Islam yang sebenar. Inilah teguran, yang menyatakan bahawa ummat Islam hari ini telah berpecah belah. Inilah teguran, yang menyatakan bahawa ummat Islam hari ini semakin melemah.

Apakah perbezaan antara Masjidil Haram dengan Masjidil Aqsa? Apakah perbezaan Masjid Nabawi dengan Masjidil Aqsa? Bukankah ketiga-ketiga tempat itu adalah tanah suci kita? Tetapi kenapa kita masih berdiam diri? Kenapa kita menganggap itu adalah satu lagi pembunuhan biasa?

Inilah hakikatnya, bukti yang menunjukkan betapa lemahnya kita.

Hati kita sudah tidak sensitif. Sehinggakan teguran Allah pun tidak kita rasakan. Kalau Tanah Suci pun kita boleh biarkan, tidak berani untuk mempertahankan, apa lagi dengan tanah-tanah yang lain?

Menjeritlah, meraunglah, memanggil-manggil nama Salahuddin kedua. Saya sebenarnya naik muak dengan sikap beberapa orang yang asyik menyebut,

“Bilakah Salahuddin kedua hendak sampai?”

“Nanti bila muncul Salahuddin kedua, dia akan menewaskan Yahudi”

“Salahuddin kedua!”

Ketahuilah bahawa, tidak akan ada Salahuddin kedua selepas Salahuddin Al-Ayubi. Yang ada hanyalah kita. Ya, kita! Salahuddin kedua tidak akan datang. Tetapi yang perlu datang itu kita.

ALLAH SWT berfirman,
“Dan sekiranya mereka meminta pertolongan kalian (ketika mereka diserang) kerana Islam, kalian mestilah sudi menolong mereka”
Kenapa kita serahkan tanggungjawab ini pada Salahuddin kedua itu? Ini semua adalah tanggungjawab kita bersama sebenarnya. Kitalah sebenarnya, yang perlu menjadikan diri kita Salahuddin kedua!

Masalah Palestin bukanlah masalah nasionalisma, bukanlah masalah negara, bukanlah masalah tanah. Masalah Palestin hakikatnya adalah masalah ummah. Masalah kita.

Rasulullah SAW bersabda,
“Muslim itu adalah saudara kepada muslim yang lain, janganlah kamu menzaliminya, janganlah kamu mengkhianatinya, dan janganlah pula kamu serahkannya kepada sesiapa yang ingin menzaliminya”
Al-Hadith
ALLAH SWT juga berfirman,
“Sesungguhnya mu’min itu bersaudara”
Surah Al-Hujurat: 10
Kejadian di Palestin sepatutnya kita muhasabah dan melihat kembali kepada diri kita. Telinga saya sakit sebenarnya dengan kutukan demi kutukan, belasungkawa demi belasungkawa yang hanya terawang-awang di udara. Itu semua tidak akan membawa makna sekiranya ummat Islam sendiri tidak berubah. Ummat Islam terperangkap di dalam masalah mereka sendiri. Mereka sudah terasa seperti berada di zon selesa tetapi hakikatnya keselesaan itu hanyalah rekaan musuh kita semata-mata.

Saya lihat dengan jelas betapa benarnya kata-kata Rasulullah SAW mengenai wahn (cinta dunia takut mati). Itulah yang menyebabkan tangan dan kaki kita tergari. Bahkan ada antara orang Islam sendiri yang menyokong tindakan Israel dan menyalahkan pula Hamas yang berjuang bermati-matian mempertahankan deen dan Masjidil Aqsa kita. Deen kita, bukan deen mereka sahaja. Masjid kita, bukan masjid mereka sahaja.

Ummat Islam yang lain buat apa? Semuanya hanya menjaga poket dan periuk nasi masing-masing. Tidak menyumbang malah ada yang mengeji. Tidak bersatu malah ada lagi yang masih bersengketa mengenai sunnah bid’ah. Sedangkan hal wajib yang dikhianati dalam kehidupan tidak ditegur, sedangkan hal-hal haram yang berleluasa tidak diperbaiki.

Dengan keadaan kita yang jauh daripada Allah SWT ini, bagaimana Allah hendak memakbulkan segala doa kita untuk Palestin? Adakah Allah hendak membantu kita dalam keadaan kita sendiri lupa kepadaNya?

Allah SWT berfirman di dalam Surah Toha, ayat 125-126.
“Dan Kami bangkitkan mereka pada hari kiamat nanti sebagai orang buta, berkata mereka itu kenapa kami dibangkitkan buta sedangkan kami di dunia dulu boleh melihat, (Allah menjawab) beginilah dahulu kamu melupakan ayat-ayat Kami, dan pada hari ini kamu dilupakan”
Masalah Palestin tidak pernah berubah, malah semakin teruk semenjak pertama kali dijajah pada 1948. Adakah tiada muslim yang berdoa sepanjang 60 tahun ini? Ramai... Tetapi ummat itu tidak berubah. Kita tidak berubah. Maka Allah pun tidak akan mengubah nasib kita.

Allah SWT berfirman,
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah terlebih dahulu apa yang ada pada diri mereka”
Surah Ar-Ra’d: 11
Nah... Sekarang, Palestin hanya tinggal Gaza. Gaza yang berdiri walaupun dihentam hancur oleh pejuang Israel awal tahun lalu. Palestin yang sudah cacat, tempang, yatim, sebatang kara, ditinggalkan saudara-saudaranya yang lain. Apakah yang dilakukan oleh Ummat Islam? Masih terasa seperti biasa. Masih terasa serangan ke atas Gaza itu adalah sama seperti serangan-serangan terdahulu.

Bagaimana Allah hendak membantu kita, mengubah nasib kita andai kita sendiri tidak berusaha untuk ubah diri kita? Kita sendiri yang tidak hendak mengubah nasib kita. Kita masih terus leka dengan dosa dan dunia. Kita masih rasa senang lenang dan tidur lena tanpa berusaha apa-apa.

Kita telah melakukan banyak kesilapan. Dan Allah sedang menegur kesilapan kita ini. Allah menegur dengan bala yang sedang diturunkan ke atas Palestin masa kini.

Ketahuilah, saya tidak pernah rasa takut jika tiada sesiapa yang hendak membantu saudara kita di sana. Kerana saya yakin Allah itu tidak akan mengecewakan hamba-hambaNya. Tetapi yang saya takut adalah, kita ini, yang tiada sensitiviti ini akan digantikan dengan satu kaum yang lebih baik dari kita, dan diri kita terlepas peluang untuk menjadi hamba yang baik di sisi Allah SWT.

Ada satu kata-kata, saya sendiri terlupa ianya hadith atau sekadar bicara hikmah, ia berbunyi,
“Kalau kamu melepaskan tanggungjawab ini, maka Allah tidak akan rugi. Bahkan kamulah yang rugi. Allah akan menggantikan kamu dengan kaum yang lebih baik dari kamu, yang lebih beriman, yang lebih taat dalam menjalankan perintah Allah dan menjaga deenNya”
Kitalah yang rugi wahai saudara saudariku. Kitalah yang rugi.

Adakah kita masih tidak terasa bahawa ini merupakan satu teguran daripada Allah?

Adakah kita masih hendak meneruskan kehidupan yang penuh dengan kelalaian dan kemaksiatan seperti yang kita sedang lalui hari ini?

Palestin, satu teguran daripada Allah.

Kalau masih tidak sedar juga, ketahuilah bahawa hati kita telah mati sebenarnya.

Read more...