Monday, July 20, 2009

Al-Israa’ Wal Mi’raj: Iktibar Persinggahan RasuluLlah SAW ke Masjid Al-Aqsa

Oleh: Ustaz Fakhrurrazi Abu Bakar
Fakulti Syariah, Universiti Yarmouk, Irbid


Peristiwa Israa’ dan Mi’raj berlaku pada tahun yang ke-tiga belas selepas Nabi Muhammad SAW diutus menjadi rasul dan sesetengahnya menyebut setahun sebelum peristiwa hijrah ke Madinah atau enam belas bulan sebelumnya. Berlakunya peristiwa mu’jizat yang mempunyai seribu satu pengajaran ini ketika RasuluLlah SAW seakan-akan menemui jalan buntu demi kelangsungan perjuangan Islam. Wafatnya Khadijah RA isteri yang sangat disayangi setelah mendampingi RasuluLlah SAW sedari awal bermulanya risalah, ditambah pula dengan pemergian Abu Thalib sebagai bapa saudara dan pemerintah tertinggi di Makkah pada ketika itu yang selama ini memberikan perlindungan kepada Nabi SAW daripada kerja-kerja jahat golongan musyrikin menjadikan keadaan da’wah semakin sukar dan menekan.

Lebih malang lagi setelah tiada perlindungan serta jaminan keselamatan di Makkah, maka RasuluLlah SAW telah pergi ke Thoif untuk mencari tapak baru yang selamat sebagai usaha untuk meneruskan kerja-kerja da’wah di samping mencari sokongan daripada penduduk di sana untuk menegakkan Islam seterusnya membina sebuah pemerintahan yang berpaksikan kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah. Namun usaha yang dilakukan terputus di tengah jalan apabila Baginda SAW menerima nasib yang sama sebagaimana di Makkah sehingga Nabi SAW bermunajat kepada Kekasih Agung ‘Azza Wa Jalla dengan munajat yang sangat masyhur;

اللهم إليك أشكو ضعف قوتي ، وقلة حيلتي ، وهواني غلى الناس ، يا أرحم الراحمين ، أنت رب المستضعفين ، وأنت ربي ، إلى من تكلني إلى بعيد يتجهمني ؟ أو إلى عدو ملكته أمري ، إن لم يكن بك غضب علي قلا أبالي ، غير أن عافيتك هي أوسع لي ، أعوذ بنور وجهك الذي أشرقت له الظلمات ، وصلح عليه أمر الدنيا والآخرة ، أن يحل علي غضبك ، أو أن ينزل بي سخطك ، لك العتبى حتى ترضى ، ولا حول ولا قوة إلا بك

"Ya Allah, ya tuhanku, kepadaMu aku mengadu lemahnya kekuatanku, sedikitnya helahku, dan hinanya aku di kalangan manusia. Wahai Pentadbir yang Paling Penyayang di kalangan semua yang penyayang, Engkaulah Tuhan kepada orang-orang yang lemah tertindas dan Engkaulah Tuhanku. Kepada siapakah Engkau serahkan aku? Adakah kepada orang yang jauh yang memandangku dengan muka yang masam atau pun kepada musuh yang Engkau berikan kepadanya milik untuk menguasai urusanku? Jika sekiranya tiada murkaMu terhadapku, aku tidak peduli, namun kemaafanMu lebih luas kepadaku. Aku berlindung dengan cahaya wajahMu yang telah Engkau pancarkan ke arah segala kegelapan, menjadi baiklah segala urusan dunia dan akhirat. Aku berlindung daripada turunnya ke atas murkaMu atau berlakunya ke atasku murkaMu. KepadaMu pengaduan yang sungguh-sungguh sehingga mencapai redhaMu. Tiada daya dan upaya melainkan pertolonganMu"
[Riwayat At-Thobrani dari hadith AbduLlah bin Ja’far]

Melihat akan keadaan yang yang sangat kritikal ini, maka Allah SWT telah menjemput Nabi Muhammad SAW sebagi tetamu untuk ‘memujuk’ kekasihNya itu setelah menerima tekanan demi tekanan di samping kehilangan orang-orang yang disayangi, melihat tanda-tanda kekuasaan Allah SWT, memberi pengajaran bahawa kuasa-kuasa pemerintah di bumi yang menekan perjuangan Islam itu hanyalah habuk-habuk halus jika dibandingkan dengan Kerajaan Allah SWT yang mencakupi langit dan bumi sebagaimana yang disaksikan sendiri oleh RasuluLlah SAW pada malam yang bersejarah itu.


Pengajaran Agung Yang Berguna Sehingga Qiamat

Allah SWT menghendaki pengembaraan Nabi Muhammad SAW di bumi ini berlaku pada waktu malam dari Masjidil Haram, tempat tinggalnya RasuluLlah SAW dan berakhir di Masjid Al-Aqsa. Mengapakah begitu? Bukankah lebih senang untuk Allah SWT memperjalankan terus hambaNya yang mulia ini bertemu denganNya di Sidrah al-Muntaha yang merupakan penghujung kepada pengembaraan ini? Mengapa perlu ‘singgah’ di Palestin yang ada padanya Masjid Al-Aqsa? Apakah simboliknya Baginda SAW menjadi imam kepada seluruh nabi-nabi dan rasul-rasul ‘alaihimussolatu wassalam yang terdahulu yang diutus kepada Bani Israel?

Perlu diingat percaturan ini dibuat oleh Allah ‘Azza Wa Jalla. Perjalanan ini bukanlah sembarangan tetapi ianya merupakan Perancangan Rabbani yang tersusun yang mempunyai hikmahnya yang tersendiri.


Kesinambungan Di Antara Masjid Al-Haram Dan Masjid Al-Aqsa

Sekiranya kita mengkaji dengan mendalam pada ayat yang pertama dari Surah Al-Israa’, kita akan dapati bahawa adanya kesinambungan di antara Masjid Al-Aqsa dengan Masjid Al-Haram, di antara Bayt Al-Muqaddis dan Makkah Al-Mukarramah. Maka, apakah signifikannya perkara ini?

Setiap percaturan Ilahi ada pengajaran yang hendak disampaikan. RasuluLlah SAW telah dipilih untuk menjadi imam solat dan para nabi ‘alihimussolatu wassalam semuanya menjadi makmum di masjid yang mempunyai sejarahnya yang panjang. Peristiwa ini menunjukkan kepada kita bahawa Allah SWT menghendaki supaya pimpinan Islam yang menjadi risalah kepada seluruh alam ini bertukar tangan dari Bani Israel kepada umat yang baru, rasul yang baru serta kitab yang baru.

Begitu juga Allah SWT menghendaki para hambanya yang terdiri dari kalangan sahabat mengambil cakna akan Masjid Al-Aqsa sebagaimana Masjid Al-Haram. Merindui untuk solat di Masjid Al-Aqsa sebagaimana rindunya untuk solat di Masjid Al-Haram. Berasa sukarnya untuk solat di Masjid Al-Aqsa sebagaimana sukarnya untuk solat di hadapan Ka’bah.

Ketika diturunkan ayat ini, hijrah belum lagi berlaku dan umat Islam Umat di Makkah pada ketika ini merupakan golongan lemah yang ditindas oleh Kerajaan Musyrikin Makkah. RasuluLlah SAW dan para sahabat tidak dapat mendirikan solat walaupun satu raka’at di bawah bayangan Ka’bah sama ada secara jamaah ataupun seorang tanpa tenang dari ejekan dan kekerasan pihak musuh.

Maka dalam keadaan yang sangat menekan inilah maka berlakunya mu’jizat Israa’ dan Mi’raj. Turunlah ayat-ayat menceritakan kepada umat Islam pada ketika itu perihal al-masjid al-Aqsa beserta sejarahnya supaya mereka mengambil cakna akan apa yang sebenarnya berlaku di sana sebagaimana tekanan yang mereka hadapi di Makkah pada ketika itu.

Para sahabat melihat sendiri kerosakan di sekeliling Masjid Al-Haram yang dicemari kesuciannya dengan penyembahan patung-patung berhala oleh golongan musyrikin. Lelaki dan perempuan mereka melakukan tawaf dalam keadaan telanjang. Keadaan di Masjid Al-Haram amat membimbangkan di bawah kuasa Kerajaan Musyrikin Makkah.

Maka begitulah juga keadaannya di Masjid Al-Aqsa. Tidak kurang perihalnya sebagaimana yang ada pada Masjid Al-Haram. Ketika berlakunya Israa’ dan Mi’raj dan ketika turunnya ayat ini, Bayt Al-Muqaddis berada di bawah cengkaman Kerajaan Rom yang merupakan salah satu kuasa besar dunia pada zaman tersebut selain Parsi, telah memesongkan ajaran agama samawi yang dibawa oleh Nabi Isa AS, melakukan syirik kepada Allah dan berbuat zalim kepada manusia.

Maka, hubungkait ini menuntut Umat Islam seluruhnya mengetahui akan tanggungjawab mereka terhadap Masjid Al-Aqsa, mempertahankannya dengan darah dan harta mereka sebagaimana mereka mempertahankan al-Masjid al-Haram dengan semangat ruh perjuangan Islam yang sangat tinggi harganya.


Hubung Kait Bani Israel DenganMasjid Al-Aqsa

سُبْحَانَ الَّذِى أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الاْقْصَى الَّذِى بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ ءايَـتِنَآ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ﴿1 وَءَاتَيْنَآ مُوسَى الْكِتَـبَ وَجَعَلْنَاهُ هُدًى لِّبَنِى إِسْرَءِيلَ أَلاَّ تَتَّخِذُواْ مِن دُونِى وَكِيلاً ﴿2 ذُرِّيَّةَ مَنْ حَمَلْنَا مَعَ نُوحٍ إِنَّهُ كَانَ عَبْدًا شَكُورًا ﴿3 وَقَضَيْنَآ إِلَى بَنِى إِسْرَءِيلَ فِى الْكِتَـبِ لَتُفْسِدُنَّ فِى الاٌّرْضِ مَرَّتَيْنِ وَلَتَعْلُنَّ عُلُوّاً كَبِيراً ﴿4 فَإِذَا جَآءَ وَعْدُ أُولَـهُمَا بَعَثْنَا عَلَيْكُمْ عِبَادًا لَّنَآ أُوْلِى بَأْسٍ شَدِيدٍ فَجَاسُواْ خِلَـلَ الدِّيَارِ وَكَانَ وَعْدًا مَّفْعُولاً ﴿5 ثُمَّ رَدَدْنَا لَكُمُ الْكَرَّةَ عَلَيْهِمْ وَأَمْدَدْنَـكُم بِأَمْوَلٍ وَبَنِينَ وَجَعَلْنَـكُمْ أَكْثَرَ نَفِيرًا ﴿6 إِنْ أَحْسَنتُمْ أَحْسَنتُمْ لاًّنفُسِكُمْ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا فَإِذَا جَآءَ وَعْدُ الاٌّخِرَةِ لِيَسُوءُواْ وُجُوهَكُمْ وَلِيَدْخُلُواْ الْمَسْجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّرُواْ مَا عَلَوْاْ تَتْبِيرًا ﴿7 عَسَى رَبُّكُمْ أَن يَرْحَمَكُمْ وَإِنْ عُدتُّمْ عُدْنَا وَجَعَلْنَا جَهَنَّمَ لِلْكَـفِرِينَ حَصِيرًا ﴿80

"[1] Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. [2] Dan Kami telah memberikan Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami jadikan Kitab itu petunjuk bagi Bani Israil (serta Kami perintahkan mereka): "Janganlah kamu jadikan yang lain daripadaKu sebagai Tuhan (untuk menyerahkan urusan kamu kepadanya)". [3] (Wahai) keturunan orang-orang yang telah Kami bawa bersama-sama dengan Nabi Nuh (di dalam bahtera)! Sesungguhnya ia adalah seorang hamba yang bersyukur. [4] Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: "Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau. [5] Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku. [6] Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya. [7] Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya. [8] Mudah-mudahan Tuhan kamu akan mengasihani kamu (kalau kamu bertaubat); dan jika kamu kembali (menderhaka), maka Kami pula akan kembali (menyeksa kamu di dunia); dan kami telah jadikan neraka: penjara bagi orang-orang kafir (pada hari akhirat).”

Surah Al-Israa': 1-8

Ayat-ayat suci ini menceritakan kepada mereka yang beriman tentang Yahudi darihal akhlaq keji mereka serta kerosakan yang mereka lakukan ke atas Masjid Al-Aqsa di mana Palestin pada ketika diturunkan ayat-ayat ini tidak ada seorang pun dari Yahudi yang mendiaminya sama ada di Masjid Al-Aqsa ataupun Bayt al-Muqaddis. Adapun para sahabat yang dipimpin oleh Nabi SAW pada ketika ini belum lagi berhijrah ke Madinah dan belum pernah pun berkomunikasi dengan Yahudi apatah lagi melihat tingkah laku mereka terhadap ajaran agama mereka sendiri sepertimana yang digambarkan dalam ayat-ayat di atas. Maka apakah tujuan peringatan awal ini?

Ini menunjukkan kepada kita bahawa Allah SWT telah memberi peringatan terhadap umat Islam seluruhnya supaya kita membuka mata akan hakikat kebejatan Yahudi dari segi akhlaq serta kerosakan yang mereka lakukan terutamanya apa yang mereka lakukan terhadap Masjid Al-Aqsa sehingga memberi faham kepada umat Islam ketika itu apakah pendirian serta tindakan yang perlu difikir bersama dan lakukan untuk ‘berinteraksi’ dengan mereka di masa hadapan berdasarkan pendedahan yang dibuat melalui ayat-ayat suci tersebut.

Kenyataan Allah SWT ini benar-benar berlaku apabila umat Islam telah melakukan hijrah ke Madinah dan menyaksikan sendiri tingkah laku golongan-golongan Yahudi yang menetap di sana. Mereka rasakan sendir betapa rasa dikhianati oleh Yahudi Bani Qainuqa’, Yahudi Bani Nadhir, Yahudi Bani Quraizhah, Yahudi di Khaibar sehingga kepada satu peringkat RasuluLlah SAW sebagai Ketua Negara terpaksa melancarkan serangan terhadap mereka setelah mereka mengingkari janji yang telah dimetrai melalui Perlembagaan Negara Madinah apabila mereka berkomplot untuk menentang kerajaan yang telah memberi perlindungan kepada mereka tetapi akhirnya mereka belot bergabung dengan Kerajaan Makkah yang syirik sebagaimana yang kita lihat dalam Perang Ahzab, dan banyak lagi pembelotan yang dilakukan mereka setelah mereka bersetuju untuk menerima Islam sebagai perlembagaan Negara.

Sikap mereka ini berkekalan sehingga ke hari ini, sama sahaja tidak ada perubahan sebagaimana yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam terdahulu. Setelah kita bertadabbur dengan ayat-ayat suci ini dapatlah kita saksikan sendiri betapa benarnya kenyataan-kenyataan Allah SWT darihal hubungkait Masjid Al-Aqsa dan Bani Israel sebagaimana sejarah lampau menunjukkan mereka tegak di atas dasar kerosakan dan mencemari kesucian Al-Aqsa serta bandar-bandar sekelillingnya, maka begitulah sikap mereka yang dapat kita lihat pada hari ini. Sejak dari dahulu lagi, setiap kerosakan yang mereka lakukan ke atas al-Masjid al-Aqsa maka Allah menghantar dari kalangan hamba-hambanya untuk mengatasi bangsa yang dilaknat ini. Dan perkara ini akan berterusan sehinggalah Allah menzahirkan umat Islam dengan kemenangan. Ini bermakna, pada zaman ini kitalah yang perlu menggalas amanah untuk menghalau serta menghinakan Bani Israel buat kali terakhirnya sebelum kita dapat melihat keadilan Islam dapat kembali tertegak di Bayt Al-Maqdis.

Allahu Akbar!



Rujukan
[1] Zaadul Ma’ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah
[2] Fi Zhilal as-Siroh an-Nabawiyyah: al-Israa’ Wal Mi’raj, Dr. Abdul Qadir Abu Faris
[3] Al-Quds: Qadhiyyah Kulli Muslim, Dr. Yusuf al-Qaradhawi
[4] As-Sirah an-Nabawiyyah, Abu al-Hasan Ali an-Nadawi

2 comments:

  1. bagus la artikel abg gemuk ni..jazakallah khairan kathira..semoga dilimpahi rahmat dan kebaikan dari Allah taala..

    ReplyDelete
  2. Saya memang sedang mendalami tindakan dan tingkahlaku orang Yahudi yang dilaknat Allah itu. Saya juga sedang mencari-cari kemunculan Imam Mahadi yang amat dinanti-nantikan umat islam.

    ReplyDelete