Thursday, July 16, 2009

Tragedi An-Naksah: Kekalahan Paling Mengaibkan

Oleh: Dr. Hafidzi Mohd Noor
Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE)



EMPAT puluh dua tahun lalu, satu peristiwa bersejarah berlaku kepada dunia Islam. Tanggal 5 Jun 1967 menyaksikan Israel melancarkan operasi ketenteraan secara besar-besaran ke atas Republik Arab Bersatu (Mesir), Jordan dan Syria secara serentak.

Peperangan yang dikenali dalam sejarah konflik Asia Barat sebagai "Perang Enam Hari" itu berakhir pada 10 Jun 1967.

Dalam tempoh itu, Israel berjaya menewaskan tiga negara Arab walaupun negara-negara itu turut dibantu oleh Arab Saudi, Iraq, Algeria, Tunisia, Sudan, Somalia, Maghribi, Mauritania, Yemen, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu, Oman dan Qatar dengan membekalkan askar dan kelengkapan tentera.

Mesir menerima pukulan paling dahsyat apabila lebih 10,000 askarnya terkorban. Angkatan udaranya musnah sama sekali apabila kira-kira 300 jet pejuangnya diranapkan oleh tentera Israel dalam serangan mengejut.

Apabila serangan berakhir, Israel menguasai Tebing Barat, Genting Gaza, Baitulmaqdis Timur, Tanah Tinggi Golan dan Semenanjung Sinai. Dalam serangan itulah Masjid Al-Aqsa ditawan, sehinggalah ke hari ini.

Kekalahan besar yang amat memalukan seluruh dunia Arab dan Islam itu diperingati sebagai "Hari An-Naksah" (Hari Kekalahan). Ia adalah tragedi besar kedua menimpa umat Islam dan dunia Arab khususnya.

Pertama ialah "Hari An-Nakbah" (Malapetaka) yang berlaku pada 15 Mei 1948. Peristiwa itu membawa kepada penubuhan negara Israel di atas 77 peratus tanah Palestin yang dirampas. Peristiwa An-Nakbah dikaitkan dengan pengusiran 800,000 rakyat Palestin yang kini menjadi pelarian di Syria, Jordan, Lubnan dan Mesir (Gaza).

An-Naksah pula melengkapkan penaklukan Israel ke atas keseluruhan tanah Palestin dan status qou itu berterusan sehingga kini.

Mesir semasa era Presiden Anwar Sadat berjaya membuat kejutan dengan menyerang kedudukan tentera Israel di Semenanjung Sinai dalam "Perang Oktober 1973" atau "Perang Ramadhan". Kemenangan Mesir bagaimanapun tidak dapat disempurnakan apabila AS campur tangan dan satu gencatan senjata dilaksanakan.

Pertimbangan politik oleh Mesir itu akhirnya membuka laluan kepada termeterainya perjanjian damai Mesir-Israel 1978. Perjanjian damai Camp David itu mengembalikan Semenanjung Sinai kepada Mesir.

Namun harga yang terpaksa dibayar oleh rakyat Palestin khususnya di Gaza berterusan. Perjanjian itu menyaksikan Mesir mengiktiraf Israel dan bertanggungjawab menjamin keselamatan entiti Israel terutama di Genting Gaza.

Jika laluan di Rafah ditutup sehingga rakyat Gaza yang cedera dalam serangan akhir tahun lalu dan awal tahun ini tidak dibenarkan menyeberang untuk mendapat rawatan di Mesir, ia adalah kesan daripada 'perjanjian damai Mesir-Israel pada 1978 itu.

Apakah reaksi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)? Seperti yang dijangka, PBB bersidang dan meluluskan Resolusi 242 yang mengkehendaki Israel berundur ke garisan hijau yang diputuskan oleh Perjanjian Rhodes pada 1949.

Ini bermakna Israel perlu keluar dari semua wilayah yang didudukinya pada Jun 1967. Pendudukan ke atas wilayah Palestin di Tebing Barat, Genting Gaza dan Baitulmaqdis Timur adalah pendudukan haram. Bagaimanapun Israel tidak mempedulikan resolusi tersebut dan juga resolusi-resolusi lain.

Bagi Israel, PBB adalah sebuah pertubuhan yang "tidak berkuku dan bertaring". Ia berasa kuat selagi AS berada di sampingnya.

Hari An-Naksah juga menandakan tarikh Masjid Al-Aqsa ditawan oleh tentera Zionis. Sejak itu, ia terdedah kepada ancaman dan perbuatan keji Zionis. Ia termasuk peristiwa masjid itu dibakar pada 21 September 1969 yang diingati sebagai "Hari Al-Quds" setiap tahun.

Zionis juga menggali terowong-terowong rahsia di bawah masjid itu bertujuan melemahkan tapaknya. Kumpulan ekstremis Zionis turut merancang merobohkan masjid itu dan mendirikan synagogue (kuil) yang mereka namakan Haikal Sulaiman.

Pada September 2000, lebih 1,000 askar Israel memasuki kawasan masjid untuk membangkitkan kemarahan rakyat Palestin dan umat Islam. Peristiwa biadap itu mencetuskan "Intifada".

Selain itu, rejim Zionis juga melaksanakan agenda me-Yahudikan kawasan masjid itu dan Baitulmaqdis Timur. Rumah-rumah penduduk Palestin dirobohkan, tanah mereka dirampas, mereka diusir dan status pemastautin mereka dibatalkan.

Israel kemudian membina unit-unit apartmen dan perumahan eksklusif untuk pendatang haram Yahudi di situ.

Pembinaan tembok pemisah di Tebing Barat yang kini menjangkau 800 kilometer panjang membuktikan usaha Israel mengepung rakyat Palestin dan menyukarkan mereka menziarahi Masjid Al-Aqsa. Inilah jenayah yang terus menjadi agenda Israel di Palestin.

Hari ini Israel terus berdolak-dalik dengan penyelesaian dua negara (two-state solution). Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu tanpa rasa bersalah menolak penyelesaian dua negara itu dan juga usaha mewujudkan negara Palestin.

Sikap itu diambil meskipun semua perjanjian damai yang ditandatangani bersama Fatah sejak Perjanjian Oslo 1990 berdasarkan kepada Resolusi 242 yang diluluskan pada 1967.
Jika inilah pendirian yang dipertahankan oleh Israel, apakah dunia masih meletakkan harapan kepada "penyelesaian dua negara" itu?

Mungkin sudah tiba masanya dunia menimbang formula yang ditawarkan oleh Hamas iaitu Israel berundur dari wilayah yang didudukinya sejak 1967, menghentikan kepungan ke atas Gaza dan membentuk gencatan senjata jangka panjang tanpa perlu Palestin mengiktiraf kewujudan Israel.

Namun bersediakah Israel mengiktiraf negara Palestin? Hakikatnya mereka adalah perampas tanah Palestin dan kewujudan Israel di atas tanah yang dirampas sejak 1948 itu adalah kewujudan haram.

Maka pilihan yang terbaik ialah akur kepada Resolusi 242 dan mana-mana resolusi yang berkaitan seperti Resolusi 338. Kemudian bersetuju dengan gencatan senjata panjang.

Sekurang-kurangnya keamanan ke atas wilayah bergolak itu dapat diwujudkan buat sementara waktu sehingga masyarakat antarabangsa mencari ruang kepada pelaksanaan pelan penyelesaian yang berkekalan.


Ehsan daripada blog Lambaian Islah. Artikel ini telah disiarkan di dalam Utusan Malaysia pada 5 Jun 2009.

No comments:

Post a Comment