Wednesday, July 15, 2009

Untukmu Palestin: Lupakah Kita?

Oleh: Muhammad Aizat Amiruddin
Fakulti Perubatan, Jordan University of Science & Technology
Tobek Ardi


Assalamualaikum WBT dan Salam Perjuangan Pembebasan.

Percaya atau tidak, keparahan luka di bumi Palestin pada hari ini adalah cerminan kepada betapa hodohnya perangai dan pemikiran kita umat Islam kini. Adalah sesuatu yang amat memalukan, apabila 1.3 billion umat Islam tidak mampu mengusir hanya beberapa juta penduduk haram Yahudi di tanah Palestin. Ia sungguh memalukan!

Telah menjadi suatu lumrah, apabila sesuatu kelompok itu ditekan, pada peringkat permulaan mereka akan bangkit menentang dengan segala kekuatan dan semangat berkobar-kobar. Namun lama-kelamaan, semangat itu sedikit demi sedikit terhakis, kemudiannya menjadi satu kelompok suara minoriti dan kemudiannya semakin luput ditelan zaman. Kini, suatu penjajahan yang ditentang habis-habisan satu ketika dahulu sudah tidak lagi menjadi sesuatu yang memalukan, dan akhirnya ia dianggap sesuatu yang harus diterima sebagai suatu hakikat yang tidak mungkin diubah lagi… Inilah sikap umat Islam kini, khususnya terhadap isu Palestin.

Ramai di kalangan umat Islam sudah tidak yakin bahawa umat Islam mampu merampas kembali Palestin. Ramai yang terlalu kagum dengan kuasa besar Amerika dan sekutunya negara haram Israel lalu menganggap bahawa mereka adalah kuasa kebal yang tidak mungkin dapat dikalahkan, dan Palestin tidak mungkin dapat dikembalikan.

Kalau itulah yang anda fikirkan, anda silap!

Lupakah kita, bagaimana susah dan payahnya perjuangan dakwah Rasulullah saw, yang tidak kenal erti rehat dan senang-lenang yang kemudiannya diteruskan oleh para sahabat Radhiallahu’anhum, sehingga akhirnya terbukanya Baitul Maqdis di tangah khalifah agung Umar al-Khattab RA dan sekaligus membebaskannya dari cengkaman kuasa Rom, yang merupakan kuasa besar dunia ketika itu?

Lupakah kita, bagaimana Baitul Maqdis pernah dirampas oleh tentera salib, namun dengan semangat dan kekentalan iman dan keteguhan syakhsiah, umat Islam di bawah pimpinan Salahuddin al-Ayyubi telah berjaya merampas semula Baitul Maqdis, dan tentera salib hanya sempat memerintah selama 90 tahun?

Dan lupakah kita, pada semangat perjuangan rakyat peribumi Palestin:

Revolusi al-Quds pada 1920,
Revolusi al-Buraq 1929,
Perjuangan Kumpulan Jihadiyyah yang dipimpin oleh al-Qassam,
Revolusi Agung dalam akhir 1930-an,
Operasi-operasi Komando Palestin sekitar akhir 1960-an,
Intifadah Pertama sekitar 80 dan 90-an,
Intifadah Kedua pada September 2000...

serta siri perjuangan yang tidak pernah henti oleh penduduk Palestin, yang menjadi saksi kecekalan mereka mempertahankan tanah umat Islam dari perampas Zionis, walaupun dengan kekuatan persenjataan yang sangat sedikit?

Semua ini menjadi hujah ke atas kita bahawa jikalau musuh yang kita hadapi itu adalah kuasa besar dunia sekalipun, kita sebenarnya mampu!! Kita mampu dapatkan semula hak kita yang telah dirampas, setiap inci persegi bumi Palestin. Rentetan sejarah ini harus sentiasa diulang dan diingati agar semangat kita untuk Palestin tidak akan pernah luntur.

Justeru, program seperti Roadshow seperti ini adalah amat penting dalam mengembalikan ingatan kita kepada sejarah kita yang silam - bukan untuk dikenang-kenang, bukan juga untuk dibangga-banggakan, sebaliknya untuk menjadi bukti dan pembakar semangat, bahawa umat Islam mampu dan akan membebaskan Palestin dari penjajah dalam masa yang terdekat ini. Kita pantang menyerah sebelum berjuang, pantang maut sebelum ajal.

Semoga dengan penganjuran Roadshow Al-Aqsa ini dapat mengingatkan kita pada sejarah perjuangan gemilang umat Islam terhadap Palestin, selanjutnya menggerakkan jiwa dan jasad kita untuk terus bertindak mempertahankan dan mendapatkan semula bumi Palestin yang telah dirampas oleh musuh-musuh Allah.

Marilah kita bertindak segera dan berjuang dengan segala kemampuan yang ada untuk Palestin, kerana selagi Palestin masih terjajah, usaha membebaskannya terpikul di bahu kita, di bahu semua Muslim. Masing-masing boleh memainkan peranan yang berbeza dan pelbagai mengikut kapasiti dan kreativiti masing-masing. Tepuk dada, tanyalah iman akan peranan anda untuk Palestin.

Akhir kata, marilah kita kembali kepada Islam yang sebenar lalu yakinlah, bahawa Islam pasti menang.


HIDUP PALESTIN!

No comments:

Post a Comment