Wednesday, July 22, 2009

Gema Al-Aqsa Berterusan di Mafraq


Seperti yang dirancang, program ROQS 2009 meneruskan kembara ke bumi Mafraq pula pada 21 Julai. Diadakan di dewan serbaguna (dewan 'underground') di bangunan 'Hijau', program ROQS siri 2 pun bermula sekitar jam 9.00 malam dengan alu-aluan daripada pengerusi majlis, saudara Afiq. Majlis pada malam tersebut dimulakan dengan slot Gema Wahyu yang disampaikan oleh saudara Abu Bakar, kemudiannya disusuli dengan ucapan oleh Presiden PRISMA yang baru bagi sesi 2009/ 2010, Ustaz Nasir kemudian diteruskan dengan ucapan daripada Pengarah Program ROQS 2009 sendiri, saudara Muhd. Syamil Mohd. Salmi. Program kemudiannya diteruskan kepada slot ceramah.


Dalam sesi ceramah kali ini, penceramah undangan ROQS 09, Mejar Nadzri sekali lagi membentangkan tajuk "Kenapa Palestin?" dengan kupasan-kupasan serta pembentangan maklumat yang sama pada siri 1 di Mu'tah. Walaupun setelah penat bermusafir dari Mu'tah ke Mafraq, Mejar Nadzri masih mampu memberikan penyampaian dengan penuh bersemangat dan membakar semangat mahasiswa-mahasiswi warga PRISMA.

Kehadiran pada program ini dilihat amat baik iaitu sekitar 70 – 80 orang memandangkan sebahagian daripada pelajar akan menghadapi peperiksaan pada keesokannya. Malah program pada malam tersebut turut dihadiri Presiden MPPM Jordan yang baru, saudara Ahmad Syahrul bin Adnan yang juga akan menghadapi peperiksaan pada esoknya.

Bagi kutipan di Mafraq, Ustaz Nasir telah memutuskan untuk meneruskan kutipan sumbangan sehingga hari khamis ini bagi membuka lebih banyak peluang kepada warga PRISMA untuk sama-sama menyumbang kepada rakyat Palestin.

Majlis diakhiri pada jam 11.00 malam dengan sedikit jamuan ringan yang disediakan oleh Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Ali Al-Bayt. Ustaz Nasir selaku Presiden PRISMA bagaimanapun berbesar hati mengundang penceramah kita bersama sebahagian jawatankuasa penggerak ROQS 09 untuk menikmati sedikit jamuan yang lebih istimewa. Pihak sekretariat ROQS 09 mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua warga PRISMA, khususnya Ustaz Nasir sendiri dan jawatankuasa penggerak ROQS 09 bagi perwakilan Mafraq sendiri.



No comments:

Post a Comment