Tuesday, July 14, 2009

Secangkir Pengajaran Dari Kejauhan

Oleh: Ummu Nuha
Fakulti Perubatan, Jordan University of Science & Technology

Kisah tangisan di bumi Palestin tak pernah reda. Yahudi tidak pernah puas dengan apa yang mereka kecapi. Selagi bumi Palestin belum menjadi milik mereka sepenuhnya, mereka bisa melakukan apa saja untuk menawan Aqsa dan sekelilingnya.

Yang pasti, masyarakat kita perlu sedar, isu ini bukan isu picisan bagi rakyat Palestin saja, juga bukan juga isu serantau Arab semata. Malah isu ini membabitkan maruah dan air muka seluruh umat Islam di seantero dunia yang menyaksikan Keesaan Allah dan Kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Masalahnya, berapa ramai antara kita yang masih prihatin tentang isu tak berkesudahan ini?

Satu ketika dahulu, ketika bumi Gaza diserang, kita dapat melihat pelbagai reaksi. Baik dari pihak media, pihak mahasiswa, pihak kerajaan dan lain-lain. Semua bagai berlumba-lumba memberikan perhatian dan bantuan. Namun apabila terhentinya serangan Yahudi ke atas Gaza, walaupun dengan erti kata lainnya, mereka hanya berhenti menyerang tetapi mereka tidak berundur sepenuhnya, kita melihat sedikit demi sedikit, makin ramai antara kita yang semakin melupakan penderitaan saudara-mara kita di sana. Jika dahulunya boikot produk Yahudi, kini kita kembali membelinya. Yang nyata, simpati kita bermusim, bukan?

Simpati 4 musim

Jika benar simpati, jangan biar bermusim. Suburkan perasaan itu agar sebati dalam jiwa. Agar mulut kita tidakkan lekang dari mendoakan mereka. Fikiran kita tidakkan lekang dari memikirkan perjuangan mereka. Hati kita tidakkan lekang dengan semangat jihad seperti semangat juang yang dipunyai oleh mereka.

Nikmat yang tidak disyukuri

Alhamdulillah, alhamdulillah thummalhamdulillah, kita dikurniakan nikmat keamanan tinggal di Malaysia. Namun nikmat itu kadang-kala tidak disyukuri dengan sebaiknya. Nikmat keamanan yang tidak digunakan sepenuhnya untuk menyubur keimanan. Di Malaysia, kita berupaya solat di mana-mana, kita bebas berhijab, menjaharkan bahawa kita adalah Muslim tanpa takut akan ancaman. Kita berupaya untuk khusyuk dalam solat tanpa risau diri mungkin bakal menjadi mangsa peluru tak bermata. Namun berapa ramai antara kita yang menghargai dan mensyukuri nikmat itu?

Kerana negara kita aman, anak-anak muda Melayu bebas keluar 'clubbing' dan me'remp-it' di waktu malam. Anak gadis pula bebas keluar berpeleseran bersama 'jantan-jantan' tidak dikenali. Siapa kata ia hanya momokan media? Siapa kata ia hanya skrip rekaan yang sering dipaparkan oleh Gerak Khas atau filem-filem melayu? Inilah realiti sebenar yang berlaku – cara orang muda di negara kita mensyukuri keamanan.

Kasihan mereka...

Kasihan kita semua...

Bersatu melangsaikan hutang dakwah
"Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali mereka yang berpesan-pesan dalam kebenaran dan mereka yang berpesan-pesan dalam kesabaran."
Al-Asr: 2-3
Dakwah, dakwah dan dakwah

Tidak patut kita yang lebih berkefahaman, menyalahkan mereka yang jahil. Jadi di sinilah peranan utama kita. Berdakwahlah tanpa sempadan. Berdakwahlah menggunakan isu yang boleh membangkitkan sensitiviti umat Islam. Bangkitlah semua mahasiswa! Galaslah tugas dakwah ini. Sedarkan rakan-rakan kita yang terleka kerana kita masih belum terlewat. Biar mereka tahu, kita perlu hidup cara Islam dan bersatu di bawah lembayung Islam untuk membantu sahabat-sahabat yang seIslam. Allahu akbar!

Seksalah jasadku, takkan ku tunduk pada kejahilan kerana sedang mengalir di seluruh tubuhku kalimah Tuhan dari lidah Rasulmu.

Jika semua masyarakat Islam faham dan bersatu, pasti impian kita sema untuk melihat Masjidil Aqsa kembali ke tangan umat Islam menjadi realiti!

No comments:

Post a Comment