Wednesday, July 15, 2009

Uyghur: Sejarah 13 Tahun Pertama Islam Kembali Berulang

Artikel berikut telah diubahsuai daripada artikel asal untuk bacaan umum.
Ehsan blog Ikut Suka Aku.


Assalamualaikum WBT.

Alhamdulillah, Allah telah beri saya kesempatan untuk mendengar situasi yang berlaku di Turkestan Timur (Xinjiang) oleh seorang yang berketurunan Uyghur. Segala butiran tidak dapat disebut di sini tetapi saya akan cuba menulis apa yang sempat saya dengar dan catit agar rakyat Malaysia, khususnya yang membaca blog ini dapat memahami bagaimana penderitaan dan keadaan sebenar di wilayah tersebut.

Sebelum meneruskan penulisan, beberapa perkara yang harus ditekankan di sini iaitu:
  1. Orang Uyghur pantang sekali (tak suka) memanggil kawasan mereka sebagai Xinjiang. Ini kerana Xinjiang bermakna 'tanah jajahan baru'. Nama Xinjiang ni pun diberi oleh kerajaan China dan bukanlah nama asal tempat itu. Maka mereka tak suka dengan nama penjajah ni. Mereka lebih suka memanggil kawasan mereka itu sebagai Turkestan Timur. Sebabnya dari segi sejarah, wilayah yang didiami oleh orang Uyghur ni termasuk dalam wilayah Turkestan (tanah orang Turk). Jadi lokasi mereka adalah di kawasan Turkestan Timur.
  2. Orang Uyghur bukan orang Cina. Rupa mereka lebih mirip kepada penduduk Turki. Dikatakan ramai penduduk Turki berasal dari kawasan wilayah yang didiami oleh orang Uyghur.
  3. Orang Cina yang sebenar di kawasan Turkestan Timur ini adalah daripada keturunan/etnik Han. Mereka ini dihantar oleh kerajaan China untuk menetap di Turkestan Timur itu supaya komuniti Uyghur dapat hapuskan secara halus.

Sedikit info mengenai etnik Uyghur

Pada kurun ke-17, Rusia & China melakukan penjajahan di kawasan sekitarnya, maka Turkestan terbahagi kepada Turkestan Barat dan Turkestan Timur.

Turkestan Barat dijajah oleh Rusia semenjak 1865 dan telah dibahagi kepada 5 wilayah republik pada 1922 iaitulah Uzbekistan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Turkmenistan dan Tajikistan.

Turkestan Timur pula dijajah oleh China dan diberi nama Xinjiang seperti yang saya nyatakan sebelum ini. Mereka hilang kemerdekaan pada tahun 1949 kepada rejim komunis China.

Populasi di kawasan Turkestan Timur mengikut statistik rasmi Kerajaan China pada tahun 1990, populasi orang Muslim Uyghur adalah 10 juta. Walaubagaimanapun, mengikut bancian yang dijalankan sebuah badan bebas, terdapat lebih kurang 25 juta Muslim Uyghur menetap di sana (macam populasi Malaysia!). Ingat, itu adalah bancian pada tahun 1990 ye. Kenapa ada perbezaan yang sangat ketara antara populasi rasmi dan tak rasmi?

Sebabnya, Kerajaan China mengamalkan polisi yang hanya membenarkan orang Uyghur melahirkan dua anak sahaja di dalam sesebuah keluarga. Tapi mereka sebenarnya telah melahirkan anak yang lebih ramai secara senyap. Menurut pakcik Uyghur yang saya temui itu, anak-anaknya sahaja sudah ada 12 orang tapi yang berdaftar dengan kerajaan hanyalah dua orang. Ini jelas menunjukkan populasi Muslim Uyghur melebih 10 juta sebenarnya!

Muslim Uyghur juga menghadapi cabaran pembersihan etnik, budaya, bahasa, dan paling penting agama. Semasa bulan Ramadhan, mereka terpaksa bergelap apabila mahu berbuka puasa dan bersahur untuk menyembunyikan hakikat yang mereka ini beramal dengan ajaran Islam. Sampai macam tu sekali! Pada masa yang sama, Muslim Uyghur yang bekerja dengan kerajaan juga tidak dibenarkan solat, puasa, memakai tudung dan sebagainya. Ada kemungkinan mereka boleh ditembak mati sekiranya didapati mengamalkan ajaran Islam.

Mereka terpaksa belajar Al-Quran secara underground. Guru-guru merisikokan diri untuk mengajar Al-Quran.

Kerajaan China juga berusaha menghapuskan sistem pendidikan masyarakat Uyghur. Mereka dilarang menggunakan bahasa ibunda mereka semasa sesi pembelajaran.

Sekiranya anda melayari laman-laman web Uyghur, kebanyakkan bahasa mereka ditulis dalam huruf-huruf Arab.

Dahulu, kaum Han di Turkestan Timur hanyalah 4%. Sekarang sudah meningkat kepada 41%.

Kerajaan China telah mengambil semua passport orang Uyghur dan tidak membenarkan mereka keluar dari China. (No wonder kita jarang-jarang sangat jumpa Muslim dari belah-belah sana di Tanah Haram.)

Selain komuniti Muslim Uyghur dan etnik Han, terdapat juga 5% masyarakat Hui tinggal di wilayah Turkestan Timur dan kebanyakannya beragama Islam. Berbeda dengan etnik Uyghur, etnik Hui ini adalah bumiputera asli China, makanya Kerajaan China membenarkan mereka untuk mengamalkan Islam, tapi masih dalam keadaan terhad juga.

Oklah, cukuplah dulu berkenaan fakta-fakta dan latar belakang. Kalau nak tahu lebih lagi, google saja. Memang termuntah nak baca semua.


Berkenaan dengan rusuhan yang berlaku 5 Julai lalu

Rusuhan berlaku disebabkan tekanan yang telah sekian lama dihadapi oleh masyarakat Uyghur. Kalau rajin boleh rujuk di sini (cari Turkestan Timur - sebuah penulisan Harun Yahya tentang masyarakat di Turkestan Timur)

Antara pencetus rusuhan yang berlaku adalah disebabkan konfrontasi yang berlaku di sebuah kilang di Guangdong, di mana sejumlah besar masyarakat Uyghur bekerja. Nak dijadikan cerita, pada satu malam tu, sekumpulan 'samseng' orang Cina (kalau bukan etnik Han siapa lagi) datang membelasah dan membunuh pekerja Uyghur tanpa apa-apa tujuan. Apaila diminta untuk siasat, pihak pengurusan tidak mengambil sebarang tindakan. Polis pula mendakwa 'ini hanyalah salah faham kecil sahaja'. Maka yang terbunuh tidak dapat pembelaan, bahkan orang Cina katanya menyokong pembunuhan pekerja-pekerja Uyghur yang malang tadi. Tak ubah seperti Yahudi.

Atas dasar keadilan, hampir 90% orang Uyghur turun mengadakan tunjuk perasaan dan protes secara besar-besaran lantaran kebiadaban yang keterlaluan daripada orang Cina. Maka berlakulah tragedi berdarah yang menyaksikan beratus-ratus, mungkin beribu-ribu penduduk di sana terkorban.

Bagi mengelakkan keadaan semakin tegang, Kerajaan China telah memutuskan semua saluran komunikasi di sekitar wilayah Turkestan Timur. Telefon dan internet telah diputuskan untuk mengelakkan tersebarnya berita dan maklumat mengenai apa yang berlaku di sana di samping untuk menghalang penduduk Uyghur ini melancarkan Intifada untuk menentang etnik Han dan Kerajaan China yang mengkin boleh menggugat kedudukan mereka.

Dikatakan situasi mereka di sana lebih buruk jika hendak dibandingkan dengan apa yang berlaku di Palestin atas sebab berikut:
  1. Media tidak dibenarkan masuk untuk membuat liputan di kawasan masyarakat Uyghur sejak dahulu lagi. Tidak hairanlah kita seolah-olah baru pertama kali mendengar kisah penindasan ke atas entik Uyghur ini. Baru-baru ini mungkin berita tercetusnya rusuhan kaum di sana sudah tidak dapat dibendung.
  2. Hingga ke hari ini, tiada pihak tampil membela mereka. Baik yang Muslim mahupun Antarabangsa. Mereka tidak mempunyai sebarang pertubuhan mahupun organisasi yang dapat membela kebajikan dan kewangan mereka secara amnya.
  3. Mereka juga dicengkam oleh kuasa besar dan berada di dalam negara yang sememangnya mengidamkan kawasan Turkestan Timur itu untuk ditakluki (China lah, siapa lagi). Nak tahu kenapa? Baca di sini.
Akhirnya, pakcik Uyghur tadi semasa menceritakan situasi di sana berkata kepada saya, "kami bergantung harap pada Allah SWT jelah sekarang... Susah nak nampak jalan-jalan lain yang mudah."

Sebenarnya banyak usaha yang boleh dilakukan, tapi yelah... Malaysia pun nampaknya beriya-iya nak kekalkan hubungan diplomatik dengan China yang kononnya nak jadi kuasa besar dunia yang seterusnya. Beranikah Malaysia hendak menegur China? Entahlah.

Dunia Arab, mahupun dunia Islam yang lain juga menyepi. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pun sama. SEPI. Semasa Gaza diserang dahulu, bukan main lagi. Sekarang, tiada langsung suara menyatakan bantahan terhadap China. Bekas Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin sendiri mengakui di United Kingdom tiada langsung liputan secara besar-besaran mengenai rusuhan kaum terburuk di China ini.

Apakah kita mahu ikut sama untuk bersepi-sepian di dalam hal ini?

Kita kadangkala rasa seronok dan tiada apa yang hendak dirisaukan kerana kita tinggal di dalam zon yang selesa di Malaysia (mahupun di Jordan) yang aman makmur ini. Tiada siapa nak tindas (walaupun bibit-bibitnya sudah mula ada di tanah air, cuma orang Melayu je yang masih tak sedar-sedar). Tapi sejauh manakah keprihatinan kita terhadap saudara seakidah kita di tempat lain? Seharusnya kita insaf!

Hakikatnya, penindasan ke atas umat Islam hari ini - tidak kiralah di Palestin ke, Turkestan Timur ke, Bosnia ke, dan sebagainya - semuanya melambangkan betapa umat Islam - hari ini, ketika ini dan saat ini - adalah sebuah umat yang lena, lembik, lesu, lemah, longlai, bla bla bla... Letaklah apa-apa perkataan lain yang sesuai. Seperti yang dinyatakan saudara Hilal Asyraf sebelum ini, andai kata kita masih leka dengan nikmat dunia yang tidak seberapa, andai kata kita masih tidak sedar dari lena yang tidak berkesudahan, maka tunggulah masa kita ditindas tiba nanti. Tunggulah!

Oleh itu bangunlah kawan-kawan. Fikirkan masa depan kita 'di sana'. Kembalilah kepada landasan Islam yang sebenar. Suburkan kembali hati dan jiwa kita dengan ruh Islami. Berhentilah berhibur dan bersenang-senang di saat orang lain menderita dan sengsara. Sesungguhnya kesenangan dunia hanya bersifat sementara, namun kesenangan akhirat jualah yang kekal abadi.

Cukuplah rasanya sampai di sini dahulu. Diharapkan rujukan yang disertakan bersama artikel ini dapat membantu kita sedikit sebanyak dalam usaha kita nak memahami situasi di wilayah Turkestan Timur, seterusnya mencari langkah yang sesuai dan wajar untuk kita ambil bagi membela saudara kita di sana. Mereka pun saudara seIslam kita juga, saudara kita bukanlah penduduk Palestin semata-mata. Oleh itu janganlah kita bersikap double standard dalam membincangkan isu Ummah.

Takutilah kita semua akan azab yang menanti di akhirat nanti kerana mengabaikan saudara kita di seluruh dunia.

Ittaqullah, haithuma kuntum...



Wassalamualaikum WBT.

Untuk maklumat terkini mengenai hal ehwal semasa di Turkestan Timur, layari http://www.uygur.org/

No comments:

Post a Comment