Friday, July 24, 2009

Malam Dialog Pemuda: Hebat!!



Jelajah Roadshow Gema Al-Aqsa 2009 akhirnya tiba di Irbid pada 23 Julai 2009. Program yang berlangsung di Dewan Abu Ain ini mula dipenuhi oleh para pelajar seawal jam 8.30 malam, usai solat Maghrib. Dengan kehadiran pelajar seramai lebih 250 orang yang bersempit di dewan yang kecil ini, majlis dimulakan tepat jam 9.00 malam. Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Presiden PRISMA, Ust. Nasir bin Thamby Chik.

Majlis yang dipengerusikan oleh Saudara Muhammad Al-Athiq bin Marzuki ini dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-quran oleh Saudara Anas bin Abdul Hadi. Beliau membacakan ayat 1-7 Surah Al-Isra’ dengan bacaan penuh syahdu.

Majlis seterusnya menjemput Pengarah Sekretariat ROQS 2009, Saudara Muhammad Syamil bin Mohamad Salmi untuk berucap bagi pihak penganjur program. Dalam ucapannya, beliau mengatakan bahawa malam ini dinamakan Malam Dialog Pemuda dan diserikan pula dengan slot Layar Pemuda oleh Grup Rayyan adalah kerana berhimpunnya pada malam ini jiwa-jiwa pemuda yang bersemarak ruh perjuangan mereka. Mereka sanggup datang untuk bersempit dan berpanas di dalam dewan sesempit ini. Beliau juga menyentuh akan kepentingan pemuda di mana perkembangan tamadun-tamadun dunia ini ditentukan oleh tangan-tangan pemuda yang berjiwa besar.

Presiden PERMAI kemudiannya dijemput untuk berucap pada malam ini. Beliau menyatakan penghargaannya kepada pihak jawatankuasa penganjur dan semua yang turut menjayakan program seumpama ini. Program seumpama ini haruslah diteruskan di masa-masa hadapan.

Seterusnya tibalah acara yang ditunggu-tunggu oleh para hadirin, slot Layar Pemuda yang dipersembahkan oleh Grup Rayyan. Mereka mempersembahkan sajak dan juga nasyid bertajuk ‘Merah Saga’. Para pelajar yang hadir terhibur dan memberikan tepukan gemuruh pada Grup Rayyan usai persembahan mereka. Selepas itu, majlis mempersembahkan pula video Malam Kemuncak ROQS 2009 yang disediakan oleh Biro Media & Penerbitan Sekretariat ROQS 2009.
Majlis seterusnya mempersilakan Mejar Haji Nadzri bin Musman, Perunding Aman Palestin untuk menyampaikan ceramah beliau. Ceramah beliau ini bertajuk ‘Agenda Zionis & Peranan Kita’, bersempena dengan Malam Kemuncak ROQS 2009. Para hadirin tekun mendengar ceramah beliau selama satu jam setengah, diselang-seli pula dengan gelak-ketawa tatkala mendengar jenaka dari penceramah.

Tepat jam 11.00 malam, ceramah berakhir dan para hadirin dihidangkan pula dengan tayangan video Profil Aman Palestin. Seterusnya, sesi soal jawab dibuka untuk semua yang hadir.

Majlis kemudian menjemput Presiden PERMAI, Saudara Muhd. Naqeb bin Sulaiman bagi menyampaikan cenderahati penghargaan bagi pihak PERMAI kepada Mejar Nadzri bin Musman, Perunding Aman Palestin. Pihak Skretariat ROQS 2009 turut menyampaikan cenderahati penghargaan kepada Mejar Nadzri.

Malam Dialog Pemuda berakhir jam 11.30 malam. Para pelajar yang hadir kelihatan bersemangat dan menyatakan ucapan tahniah mereka kepada warga kerja ROQS 2009. Harapan mereka agar program-program sebegini dibawakan lagi di masa-masa hadapan.

ROQS 2009 di 4 destinasi ini berjaya mengumpul dana sumbangan pelajar-pelajar Malaysia di Jordan ini sebanyak 1,241. 185 JD (RM 6,212.25). Pihak Sekretariat ROQS 2009 mengucapkan jutaan penghargaan pada semua yang terlibat menjayakan program ini. Semoga semua usaha kita mendapat ganjaran terbaik di sisi Allah s.w.t.




























No comments:

Post a Comment