Perjalanan ROQS diteruskan dengan program yang dilaksanakan di Jabatan Penuntut Malaysia Jordan, Amman pada hari Rabu, 22 Julai 2009. Majlis bermula dengan kehadiran para pegawai-pegawai Kedutaan Besar Malaysia Jordan dan Jabatan Penuntut Malaysia Jordan, pelajar-pelajar dari Amman, dan juga wakil dari Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPM). Grup Rayyan juga dijemput khas bagi membuat persembahan di dalam majlis ini.
Sejurus Duta Besar Malaysia ke Jordan, TYT Dato’ Abdul Malek bin Abdul Aziz tiba di lokasi program, semua hadirin berdiri dan menyambut kedatangannya. Lalu lagu ‘Negaraku’ dinyanyikan bersama oleh semua yang hadir.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran dari saudara Wan Abdul Ba’ith bin Wan Mustapha yang memperdengarkan ayat 1-17 Surah Isra’. Ayat-ayat yang dibacakan menyentuh topik penyampaian pada malam ini.
Majlis kemudian menjemput saudara Muhammad Syamil bin Mohamad Salmi, Pengarah Sekretariat ROQS 2009 bagi menyampaikan sepatah dua kata. Beliau menyatakan betapa besar hasrat pihak sekretariat andai program-program seumpama ini dapat diteruskan secara kerjasama oleh pelbagai pihak di masa hadapan.
Seterusnya, majlis mempersilakan TYT Dato’ Abdul Malek bin Abdul Aziz untuk menyampaikan ucapan beliau. Beliau sedikit-sebanyak menyentuh isu pelanggaran protokol-protokol PBB oleh pihak Israel sejak sekian lama. Beliau turut menyatakan bahawa isu Palestin ini adalah isu kita bersama kerana ia merupakan isu kemanusiaan sejagat.
Majlis diserikan pula dengan slot ‘Layar Pemuda’ yang dipersembahkan oleh Grup Rayyan. Grup ini didatangkan khas dari Irbid. Semangat hadirin yang ada dalam majlis tersebut dibakar dengan persembahan penuh bertenaga dari grup ini. Grup Rayyan ini akan turut membuat persembahan di lokasi roadshow seterusnya, iaitu di Irbid pada 23 Julai 2009. Video Pengenalan ROQS 2009 turut ditayangkan pada malam ini bagi memperkenalkan konsep dan objektif program seumpama ini dilaksanakan.
Agenda majlis diteruskan dengan acara yang ditunggu-tunggu, iaitu ceramah dari Mejar Haji Nadzri bin Musman, Perunding Aman Palestin. Ceramah yang bertajuk ‘Kenapa Palestin?’ ini menyingkap sejarah dan perjuangan umat Islam di Palestin yang telah berlarutan sejak sekian lama. Gambar-gambar dan video-video yang dipaparkan dalam ceramah ini mengundang rasa sedih akan nasib umat Islam di sana, lantas membangkitkan semangat juang para tetamu yang hadir pada malam ini. Ceramah in berakhir tepat jam 10 malam dan disudahi dengan tayangan video profil Aman Palestin.
Selesai ceramah isu Palestin, majlis seterusnya menjemput Mejar Haji Nadzri bin Musman, Perunding Aman Palestin bagi menyampaikan cenderahati kepada TYT Dato’ Abdul Malek bin Abdul Aziz, Buta Besar Malaysia ke Jordan. Majlis kemudian menjemput pula Encik Arman bin Md. Rusoff, Atase Pendidikan Jabatan Penuntut Malaysia Jordan bagi menyampaikan cenderahati sebagai tanda penghargaan pihak penganjur kepada Aman Palestin. Majlis kemudiannya ditutup dengan tasbih kafarah lalu semua hadirin dijemput untuk menikmati juadah yang tersedia.
Maklum balas dan respon dari para tetamu yang hadir pada malam ini sangat mengharukan. Mereka menyatakan semangat mereka berkobar-kobar usai ceramah Palestin. Mereka juga bukan sekadar terhibur dengan persembahan Grup Rayyan, malah terbakar ruh perjuangan mereka. Hasrat mereka juga agar program-program seumpama ini diteruskan di masa-masa hadapan.
Pihak sekretariat ROQS 2009 mengucapkan ribuan terima kasih pada semua yang terlibat menjayakan majlis ini secara langsung ataupun tidak. Kami juga merakamkan penghargaan pada perwakilan ROQS cawangan Amman, saudara Syed Usamah Wafa bin Syed Hashim atas kesungguhan beliau melicinkan perjalanan majlis ini.
Read more...