Saturday, July 4, 2009

ROQS 2009: Sebuah Perspektif

Saban waktu kita dikejutkan dengan penderitaan demi penderitaan yang dialami oleh saudara kita di Palestin. Penindasan yang seperti tiada penghujungnya menyaksikan betapa umat Islam hari ini hanya mampu memerhati dan membenarkan sahaja apa yang berlaku di hadapan mata mereka. Benar ramalan Rasul SAW; umat Islam ketika ini adalah umat yang ramai, tetapi lemah… umpama buih-buih di lautan yang hancur di landa badai.

Baginda SAW juga pernah bersabda (yang mafhumnya), bukanlah dari kalangan kami mereka yang tidak mengambil berat hal ehwal umat Islam.

Atas dasar ukhuwah Islamiyyah yang tidak bertepi, atas dasar kecintaan dan perikemanusiaan yang tidak berbelah bagi, dan atas semangat ingin membela saudara sendiri, kini suara Palestin bergema kembali!

Kehangatan musim panas tahun ini dipanaskan lagi dengan ketibaan program Roadshow Gema Al-Aqsa 2009 (ROQS 2009) yang buat julung kalinya diadakan di Jordan. Bertemakan “Semarak Ruh Perjuangan”, program sulung anjuran Jabatan Penuntut Malaysia Jordan (JPM Jordan), Majlis Pelajar Kedah Jordan (MPKJ) dan Badan Kebajikan Anak Perak Jordan (BKAPJ) dengan kerjasama Aman Palestin Berhad ini melibatkan beberapa siri penjelajahan ke seluruh Jordan untuk menemui mahasiswa mahasiswi Malaysia di sini dalam usaha memperjelas dan meningkat kefahaman mereka terhadap isu-isu kontemporari Palestin serta meningkatkan lagi semangat setiakawan dan rasa bertanggungjawab dalam mengambil berat hal ehwal saudara mereka di Palestin secara khususnya, dan hal ehwal umat Islam seantero dunia secara umumnya.

Program ini juga antara lainnya berperanan sebagai medium bagi sidang mahasiswa mahasiswi yang dirahmati Allah sekelian menggarap dan menyalurkan pendapat dan pendirian masing-masing terhadap isu ini. Kedudukan mahasiswa yang tinggi di mata masyarakat menjadikan suara-suara mereka begitu bernilai di dalam menyuarakan dan membangkitkan isu ummah. Mahasiswa bakal menjadi barisan pertahanan pertama di dalam mempertahankan maruah Islam. Atas dasar inilah program seumpama ini dianjurkan demi menyuburkan benih-benih kesedaran dan kecintaan kita terhadap umat Islam di Palestin agar perasaan ini akan berterusan ke generasi yang mendatang.

ROQS 2009 yang bakal berlangsung selama 4 hari akan menjelajah ke destinasi-destinasi berikut:
  • Isnin, 20 Julai 2009 : Mu’tah
  • Selasa, 21 Julai 2009 : Mafraq
  • Rabu, 22 Julai 2009 : Amman
  • Khamis, 23 Julai 2009 : Irbid
Program kali ini juga bakal diserikan dengan kehadiran Perunding dan Sukarelawan Aman Palestin, Mejar Haji Nadzri bin Musman yang bertindak selaku penceramah. Program kali ini juga bakal digegarkan dengan slot istimewa “Layar Pemuda”, dibawakan khas untuk anda. Nantikan kemunculannya!

Diharapkan kita dapat bersama-sama menjayakan program bersejarah ini dan mengambil manfaat sebanyak-banyaknya daripada program tersebut.

No comments:

Post a Comment