Saturday, July 11, 2009

Konflik Palestin: Bukti Kelesuan Ummat

Oleh: Abdullah Asyraf Rafique Ali

Fakulti Perubatan, Jordan University of Science & Technology
The thoughts of Abdulla Bey, a self proclaimed Bey


Pengenalan


Konflik Palestin ini adalah satu konflik yang mempunyai kaitan yang amat kuat dengan sejarah. Puncanya juga terletak kepada sejarah kebodohan umat Islam yang tidak mahu bersatu, dan diharapkan dengan mengkaji kembali bagaimana malapetaka Palestin ini boleh berlaku, umat Islam masa kini akan dapat mempelajari kesilapan yang lalu dan tidak mengulanginya, serta berjuang dengan lebih efektif ke arah pembebasan bumi Palestin.


Palestin di bawah pemerintahan Othmaniyyah


Palestin dan kawasan sekitarnya jatuh kepada kekuasaan Khilafah Othmaniyyah pada tahun 1516 selepas Sultan Selim I menewaskan tentera Mamluk di pertempuran Marj Al-Dabeeq. Selepas itu selama lebih kurang 400 tahun tanah Palestin berada di bawah pemerintahan Othmaniyyah, kecuali pada tahun 1799 apabila tentera Perancis di bawah pimpinan Napoleon menakluki sementara Haifa, Jaffa dan Ceasaria.

Pada ketika itu jumlah penduduk Yahudi di Palestin adalah amat sedikit. Sebagai contoh pada tahun 1845 jumlah mereka hanyalah 12,000 orang berbanding dengan jumlah penduduk Arab pada tahun 1860 adalah sekitar 411,000 orang. Bukti ini menunjukkan bahawa dakwaan pihak Zionis yang Palestin itu adalah tanah tanpa tuan adalah tidak benar sama sekali. Bilangan penduduk Yahudi bertambah dalam masa akan datang akibat imigrasi penduduk Yahudi dari Eropah dan tempat-tempat lain.

Gelombang imigrasi pertama yang juga dikenali sebagai the First Aliyah berlaku antara tahun 1881 sehingga 1903 yang menyaksikan lebih kurang 25,000-35,000 orang Yahudi menetap di Palestin (ketika itu dikenali sebagai Ottoman Syria). Kebanyakan mereka ini datang dari Eastern Europe dan segelintir datang dari Yaman. Pada 1904-1914, gelombang kedua imigrasi yang dikenali sebagai the Second Aliyah tiba dengan kira-kira 40,000 orang Yahudi yang asalnya dari Poland dan Russia. Harus diingatkan bahawa ideologi Zionism memainkan peranan yang penting dalam imigrasi ini.

Pada waktu ini Sultan Abdul Hamid II telah diminta untuk menjual tanah-tanah di Palestin kepada Yahudi, tetapi beliau dengan keimanan dan kebijaksanaan telah menolak tawaran tersebut demi mempertahankan tanah umat Islam. Apabila Theodor Herzl menawarkan untuk membeli tanah Palestin dan melangsaikan hutang Empayar Othmaniah (yang ketika itu berada dalam keadaan terdesak), Sultan Abdul Hamid II telah menjawab:



“Aku lebih rela jika jasadku dipotong-potong daripada melihat Palestin dipisahkan daripada Khilafah. Biarlah Yahudi menyimpan duit mereka yang bermillion itu. Satu hari nanti apabila Khilafah sudah tiada, bolehlah mereka mengambil Palestin dengan percuma...”



Nampaknya benarlah kata-kata beliau itu.

Walaubagaimanapun, terdapat segelintir umat Islam menjual tanah kepunyaan mereka kepada pendatang Yahudi.


Perang Dunia Pertama dan Kejatuhan Khilafah Othmaniyah

Perang Dunia Pertama tercetus pada tahun 1914 dan Empayar Othmaniah terpaksa menyebelahi Central Powers dan bersekutu dengan Empayar German. Walaupun Othmaniyah berjaya menewaskan tentera Bersekutu (Britain dan para sekutunya) di pertempuran Gallipoli yang masyhur itu, namun di kawasan Palestin tentera Othmaniyah dikalahkan satu demi satu oleh tentera British yang dibantu oleh kontinjen pemberontak Arab yang mahukan kemerdekaan Arab dari pemerintahan Turki dan menubuhkan Negara Arab Raya yang merangkumi dari Halab di Syria ke Yaman. Mereka ini diketuai oleh Syarif Hussein bin Ali, Syerif dan Amir Makkah, dan ia dikenali sebagai the Great Arab Revolt. Pihak British telah berjanji kepada Syarif Hussein untuk membantu mereka mencapai cita-cita selepas mereka berjaya mengalahkan tentera Othmaniyah, tetapi ternyata itu semua hanyalah satu tipu helah apabila pada tahun 1916 Perjanjian Sykes-Picot telah dimeterai antara British, Perancis dan Russia dimana mereka membahagikan kawasan Timur Tengah dan meletakkan kawasan-kawasan tersebut di bawah pengaruh masing-masing.

Bagaikan sudah terjatuh lagi ditimpa tangga (tapi atas sebab kebodohan sendiri), pada tahun 1917 kerajaan British menyatakan polisi mereka terhadap isu Yahudi dan Palestin dalam Deklarasi Balfour, yang mana mereka mengiktiraf Palestin sebagai tanah air Yahudi, dan akan membantu dalam apa jua cara untuk merealisasikan aspirasi masyarakat Yahudi.

Maka hancurlah harapan nasionalis Arab yang berjuang melebihkan nasionalisme daripada agama dan perpaduan ummah.

Pada tahun 1924, selepas pelbagai masalah dan rintangan, Khilafah akhirnya dimansuhkan oleh Mustafa Kemal Ataturk.

Tinggallah umat Islam untuk menyelesaikan masalah masing-masing, tiada satu kuasa yang boleh menaungi mereka lagi sekarang.


Palestin di bawah mandat British sehingga Perang Dunia Kedua

Selepas Perang Dunia Pertama selesai, Palestin diletakkan di bawah mandat British. Kawasan-kawasan lain seperti Syria dan Transjordan mendapat kemerdekaan tidak lama selepas itu, tetapi Palestin kekal di bawah pemerintahan British kerana pihak British mahu memastikan bahawa Deklarasi Balfour itu direalisasikan. Dalam masa antara Perang Dunia Pertama dan Kedua (1918-1939), bilangan Yahudi yang berhijrah ke Palestin meningkat dengan mendadak akibat keadaan di Eropah di mana Yahudi ditindas dan diskriminasi terhadap Yahudi amat berleluasa.

Keadaan ini menimbulkan ketegangan di antara penduduk Arab dan Yahudi, di mana beberapa kali rusuhan telah berlaku dengan kehilangan nyawa dan harta benda yang signifikan di kedua belah pihak. Keadaan memuncak pada 1930an dengan kebangkitan Arab pada tahun 1936 selepas kematian Syeikh Izzuddin Al-Qassam dalam satu pertempuran dengan pihak British. Tetapi kebangkitan itu gagal setelah pihak British membantu Yahudi dalam melawan pihak Arab.

Jika dikaji dalam jangkamasa ini, pihak Arab bukan sahaja melawan pihak Yahudi, bahkan ada diantara mereka yang saling berbunuhan sesama sendiri. Ini menunjukkan betapa runcingnya perpaduan dan kesatuan di kalangan umat Islam. Hatta ketika berhadapan dengan musuh pun mereka masih tidak mampu untuk bersatu. Jika dilihat sama sahaja keadaannya sekarang, dengan puak-puak Palestin masih bergaduh sesama sendiri.


Perang Dunia Kedua sehingga sekarang

Selepas Perang Dunia Kedua, British yang tidak mampu lagi untuk menangani keadaan di Palestin telah menyerahkan mandat Palestin kepada United Nations (UN). Pada 1947, UN mencadangkan bahawa Palestin dibahagikan kepada dua. Walaupun bilangan penduduk Yahudi hanyalah satu pertiga dari jumlah penduduk Palestin dan mereka hanya memiliki 7% tanah, pembahagian UN itu telah memberi mereka 55% daripada keseluruhan Palestin. Pada Mac 1948, pasukan Zionis memulakan kempen serangan dan menakluk kawasan-kawasan Palestin yang diduduki Arab. Ini menyebabkan ramai penduduk Arab diusir dari kampung halaman dan dibunuh, manakala kampung-kampung mereka dimusnahkan. Peristiwa ini dikenali sebagai Nakba (malapetaka).

Pada 15 Mei 1948, Israel mengisytiharkan kemerdekaan. Ini sekaligus menyebabkan negara-negara Arab mengisytiharkan perang terhadap Israel. Tetapi sayangnya, walaupun mereka lebih ramai dan sumber mereka lebih banyak, tentera-tentera Arab tidak mampu untuk menewaskan Yahudi yang ketika itu hanyalah sebuah negara yang kerdil.

Kesan daripada kekalahan pasukan Arab pada perang 1948, Israel berjaya menakluki kawasan-kawasan yang sepatutnya di bawah kekuasaan Palestin (secara tepatnya 78% daripada Palestin). Tetapi Baytul Maqdis dan Tebing Barat telah diletakkan di bawah kekuasaan Transjordan (Jordan) manakala Gaza di bawah pemerintahan Mesir.

Pada tahun 1967, perang sekali lagi tercetus di antara negara-negara Arab dan Israel. Seperti biasa Israel mengungguli pihak lawan dan mengalahkan negara-negara Arab hanya dalam masa 6 hari. Akibat dari kekalahan ini, Baytul Maqdis (Jordan), Semenanjung Gaza, Sinai (Mesir), dan Bukit Golan (Syria) jatuh ke tangan pihak Zionis.

Yitzhak Rabin, Moshe Dayan dan Uzinarkis memasuki Kota Lama (Old City) Baytul Maqdis dari Pintu Singa (Lion’s Gate)

Pada bulan Ramadhan tahun 1973, sekali lagi perang tercetus. Tentera Mesir dan Syria membuat serangan mengejut dan Israel tidak bersedia untuk menghadapi serangan tersebut. Pada awal 24-48 jam tentera Mesir dan Syria mendapat beberapa kejayaan, dan hasil dari peperangan ini Semenanjung Sinai kembali kepada Mesir. Pada tahun 1979, Mesir menjadi negara Arab pertama menandatangani perjanjian damai dan mengiktiraf Israel.

Dari tahun 1978 sehinggalah 2000, tentera Israel terlibat dalam pelbagai konflik di Lubnan. Pada tahun 1982 tentera Israel, dengan bantuan paramilitari Arab Kristian, telah melakukan pembunuhan beramai-ramai di kem pelarian Sabra dan Shatila di mana 3,500 orang awam telah terbunuh. Penglibatan Israel di Lubnan ini akhirnya berakhir pada tahun 2000 apabila Israel berundur dari selatan Lubnan akibat tekanan dan perjuangan Hezbollah.

Pada tahun 1994, giliran Jordan pula menandatangani perjanjian damai dengan Israel.

Pada tahun 1987 sehingga 1993, tercetuslah Intifadah (kebangkitan) pertama oleh penduduk Palestin terhadap Israel yang berpunca dari kezaliman Israel membunuh, merobohkan rumah-rumah, deportasi dan sebagainya. Pada tahun 2000 pula, gelombang Intifadah kedua menggegar bumi Al-Aqsa yang dipercayai tercetus apabila Ariel Sharon melawat Masjid Al-Aqsa. Intifadah ini menyebabkan Israel meningkatkan penindasan mereka terhadap penduduk Palestin, dengan membina tembok pemisah yang masyhur itu dan membuat sekatan terhadap Semenanjung Gaza. Intifadah kedua ini juga menghasilkan natijah yang baik apabila Israel berundur dari Semenanjung Gaza setelah digasak oleh Hamas.

Pada tahun 2006, perang tercetus antara Hezbollah dan Israel setelah komando Hezbollah menawan beberapa orang askar Israel dan menuntut pembebasan banduan Arab yang berada dalam tawanan Israel. Perang ini berakhir dengan kekalahan di pihak Israel dan membuktikan bahawa Israel tidaklah sekebal mana jika kena caranya.

Dan yang terkini, akhir 2008 awal 2009, Israel melancarkan serangan ke atas Gaza atas sebab untuk memberhentikan serangan roket yang dilancarkan oleh Hamas kepada Israel. Serangan ini menyebabkan kematian beribu rakyat Palestin yang tidak berdosa dan juga menyaksikan penggunaan white phosphorus ke atas sasaran orang awam.



Sehingga kini, kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin masih berterusan. Begitu juga dengan pertelingkahan dalam sesama puak-puak Palestin. Dan juga sikap negara-negara Arab yang hanya mementingkan periuk nasi sendiri. Dan tiadanya kesatuan umat Islam.

Sampai bila semua ini akan terus berlaku?

1 comment: